Ahli Dewan Negeri Kawasan Selat Klang, Abdul Rashid bin Asari menjadi ADUN pertama yang mengisytiharkan sokongan beliau kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amiurdin Shari hari ini. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ahli Dewan Negeri Selat Klang itu, Rashid menyatakan sokongan beliau setelah meneliti Titah Ucapan DYM Sultan Selangor yang memuji kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Bekas Pengerusi BERSATU Selangor itu juga menyatakan sikap berdiam diri Perikatan Nasional terhadap tohmahan yang dilontarkan kepada Raja-Raja Melayu menjadi titik tolak kepada keputusan beliau yang diumumkan hari ini. Keputusan tersebut atas kerelaan hati beliau tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak.
Beliau yang juga bekas Exco Negeri Selangor berkata, langkah yang diambil bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Selangor khususnya kawasan Selat Klang yang pastinya perlu menerima manfaat daripada kerajaan negeri. Namun beliau bertegas bahawa beliau masih kekal sebagai ahli BERSATU dan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat. – SelangorToday