SelangorToday

RASIONALISASI SUBSIDI : PEMBANGKANG YANG RESAH, KERAJAAN BERANI LAKUKAN PERUBAHAN

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menempelak permainan persepsi oleh pembangkang apabila mendakwa proses rasionalisasi subsidi atau penarikan subsidi pukal yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan akan meresahkan rakyat. Sebaliknya Hj Azli berkata, keresahan itu timbul kepada pihak pembangkang apabila usaha kerajaan melakukan perubahan besar kepada negara menjadi kenyataan. Tambah beliau, umum mengetahui bahawa sejak awal pembangkang hanya memperlekehkan usaha kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim khususnya terhadap janji-janji Pengerusi HARAPAN itu dalam PRU belum terlaksana. Tohmahan kerajaan hari ini tidak menunaikan janji, berbohong kepada rakyat dan sebagainya dijadikan modal pembangkang untuk kekal mendapat sokongan rakyat. Kini apabila kerajaan mula bertindak, pembangkang resah akibat tiada lagi modal untuk memburukkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu yakin kebanyakkan rakyat memahami apakah tujuan kerajaan merasionalisasikan subsidi ketika ini. Sebaliknya sebahagian kecil rakyat yang resah disebabkan oleh kurang mendapatkan maklumat berkaitan langkah kerajaan. Jelas Hj Azli, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat terkesan dengan penarikan subsidi pukal tersebut, sebaliknya dua langkah bagi memastikan impak usaha kerajaan untuk memperbaiki fiskal negara itu tidak dirasai oleh orang awam. Pertama bagi sektor tuimpuan khususnya sektor pengangkutan awam mereka akan diberikan pengecualian terhadap penarikan subsidi pukal. Pastinya langkah ini bagi mengelakkan kenaikan kos pengangkutan awam yang bakal ditanggung oleh rakyat.

Kedua, rakyat susah khususnya golongan B40 dan M40 akan diberikan bantuan tunai apabila subsidi pukal ditarik. Kerajaan akan merujuk sistem PADU sebagai pangkalan data keseluruhan rakyat Malaysia bagi melihat mereka yang benar-benar perlu menerima bantuan tunai bagi meringankan beban yang perlu mereka hadapi. Maka tegas Hj Azli, tiada sebab rakyat mahu merasa resah dengan langkah kerajaan ini, sebaliknya yakin kepada usaha kerajaan dalam tekad memperbaiki kedudukan kewangan negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara pada malam Selasa mengumumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.- SelangorToday

Exit mobile version