SelangorToday

REALITI SEMASA MENJADI ASAS RANCANGAN PEMBANGUNAN SELANGOR – MB

Keadaan realiti semasa serta persekitaran menjadi asas penting dalam merangka pembangunan negeri termasuk pelaksanaan Rancangan Selangor (RS) bagi mencapai lebih banyak kejayaan, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, pentadbiran negeri perlu memahami elemen-elemen tersebut kerana ia membantu dalam membuat keputusan yang tepat serta membolehkan tindakan diambil secara menyeluruh bagi menangani sebarang isu yang timbul.

“Kita tidak boleh hanya melihat simptom kepada sesuatu masalah, tetapi perlu menyelami akar umbinya. Jika tidak, kita hanya menguruskan gejala tanpa menyelesaikan punca sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jerayawara Siswa #KitaSelangor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi, yang turut diserikan dengan sambutan Aidilfitri 2025.

Amirudin menegaskan, pendekatan berpaksikan data dan realiti semasa membolehkan kepimpinan negeri mengenal pasti kekuatan serta kelemahan sedia ada, seterusnya memastikan Selangor kekal berada di hadapan dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Kita tahu bahawa 60 peratus ekonomi negeri disumbangkan oleh sektor perkhidmatan, 30 peratus daripada sektor pembuatan, manakala selebihnya dari sektor lain. Jadi kita perlu bergerak berdasarkan kefahaman terhadap fakta dan angka ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa kejayaan lalu tidak boleh dijadikan sandaran utama kerana ia boleh menjerumus kepada kegagalan sekiranya tidak disesuaikan dengan cabaran masa kini.

“Inilah yang cuba kita bangunkan di Selangor, kerana kita kini sedar akan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi serta kekuatan yang kita miliki untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.

Exit mobile version