SelangorToday

REFORMASI INSTITUSI PERTANIAN BERMULA, 7 AGENSI KPKM DIGABUNGKAN

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menggabungkan tujuh agensi penguat kuasa bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.

Tujuh agensi terlibat adalah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan mengenai langkah reformasi perkhidmatan awam itu akan dibawa untuk perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat pada 1 November ini.

“Reformasi yang sedang diusahakan kementerian ini bukanlah kerana ada agenda politik, tetapi ia dilakukan adalah untuk kebaikan dan masa depan industri,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KPKM, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak.

Mohamad berkata penggabungan tujuh agensi penguatkuasaan berkenaan melibatkan keseluruhan 2,030 anggota penguat kuasa dan 14 akta, bagi memastikan penguatkuasaan lebih optimum agar isu ketirisan dan penyeludupan dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Pada masa sama, beliau berkata reformasi pentadbiran turut dilaksanakan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam masa terdekat.

“Sukacita saya ingin umumkan bahawa melalui langkah yang diambil, KPKM adalah kementerian pertama menyahut seruan Perdana Menteri untuk melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam melalui penggabungan penguat kuasa di bawah KPKM,” katanya. – BERNAMA

Exit mobile version