Hari demi hari silih berganti pergi, pemimpin kanan Pakatan Harapan iaitu Mohamad bin Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu telah pun menghampiri 2 tahun tempoh menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan(KPKM).
Pada 3 Disember 2024, genap 2 tahun Mohamad menerajui kementerian yang telah diwujudkan sejak merdeka namun melalui fungsi baru sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pemerintahan negara. Meskipun semasa era PH 1.0 memerintah, Mohamad dilantik sebagai Menteri Pertahanan, namun Mohamad mudah memberikan tumpuannya kepada perihal yang berbangkit di kementerian barunya.
Baru beberapa bulan di Wisma Tani, Presiden Parti AMANAH Negara itu berhadapan dengan cabaran kekurangan ayam dan telur ayam. Ayam dan telur ayam sebagai ruji makanan harian rakyat Malaysia dianggap sebagai satu bencana besar buat negara apabila bekalannya tidak mencukupi. Maka tidak salahlah apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Mohamad bersetuju untuk menetapkan fungsi KPKM lebih kepada kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan.
Disini kita dapat melihat Mohamad yang lebih lama beraksi di Dewan Rakyat sebagai pembangkang melalui kerusi Nilam Puri(1990), Kubang Kerian(1995) dan Kuala Kedah(1999) berjaya membawa matlamat atau asas kepimpinannya untuk mengangkat ‘Kedaulatan Makanan’ seiring mengisi keperluan rakyat. Sebagai Ahli Parlimen Kota Raja sejak 2018, Mohamad menggagaskan ‘Gelombang Padi’ sebagai satu inisiatif mega untuk mempertingkatkan keluaran padi dan beras negara.
Sebelum ini 12 inisiatif Gelombang Padi telah dinyatakan oleh Mohamad sempena Tahun Baru 2024. Manakala beberapa usaha susulan telah pun diumumkan oleh beliau ketika berucap dalam perjumpaan bulanan bersama warga KPKM tempoh hari. Kata Mohamad, Industri Padi Beras akan direformasikan selaras untuk memperkukuhkan bekalan Padi Beras dalam pasaran semasa.
Dengan kekurangan jumlah Padi Beras berbanding keperluan rakyat Malaysia yang dianggarkan 9 Juta, maka Mohamad mengumumkan langkah pengasingkan bahagian Pembangunan Industri Padi Beras dengan bahagian Kawal selia Padi Beras KPKM. Wakil kerajaan juga akan diletakkan dalam struktur kepimpinan BERNAS. KPKM akan mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat bagi melarang campuran Beras Putih Tempatan(BTP) dengan Beras Putih Import(BIP).
Sementara itu, 7 agensi penguatkuasa dibawah KPKM akan digabungkan sebagai menyahut seruan Perdana Menteri untuk mereformasikan pentadbiran penjawat awam. Mohamad juga memaklumkan kaedah pengiraan Kadar Sara Diri(SSR) dan Penggunaan Per Kapitan (PCC) beras negara selaras dengan piawaian ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia bertujuan untuk memastikan kadar yang diukur menggambarkan situasi sebenar keadaan Padi Beras negara.
Usaha ini akan berjalan baik jika ia turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan-Kerajaan Negeri memandangkan sektor pertanian turut dimainkan oleh mereka. Mohamad turut menghargai komitmen Wilayah Sarawak melalui Premiernya, Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg yang memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk mempertingkatkan kemudahan dan keluasan jelapang padi di Sarawak. 10 tahun akan datang, Mohamad menyasarkan ‘Gelombang Padi’ akan melimpahkan hasilnya kepada rakyat dan negara.
Meneruskan tumpuan untuk mendaulatkan makanan, Mohamad telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPKM yang baru sahaja bertukar kementerian melihat dan merangka Pelan Strategik Kadar Sara Diri (SSR) Daging yang masih di tahap bawah 20 peratus. Dalam masa yang sama, Mohamad telah mengemukakan 32 inisiatif cadangan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama untuk dipertimbangkan sebagai insiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Permohonan insiatif dan bajet yang lebih besar menggambarkan keyakinan dan peneguhan usaha Mohamad bersama timbalannya, Arthur Joseph Kurup serta warga KPKM dalam mendaulatkan makanan rakyat Malaysia. Pastinya Anwar yang juga Pengerusi PH tidak berhalangan memberikan peruntukan yang lebih kepada sektor pertanian kerana jelas atas kejayaan yang dicapai oleh Mohamad dan KPKM sepanjang 2 tahun ini.
Misalnya KPKM berjaya membawa Durian Segar menembusi pasaran China dimana setelah 24 jam dipasarkan, ia telah habis dijual. Usaha ini bukan kepalang memandangkan ia telah dibuat sejak 8 tahun yang lalu namun berjaya direalisasikan sekarang. Walau bagaimana pun sebagai pemimpin politik parti berteraskan melayu Islam, Mohamad masih belum berpuas hati dengan penglibatan bumiputera dalam meneroka pasaran baru Durian Segar ini. Beliau mengarahkan FAMA, LPP dan BDI KPKM melakukan sesuatu agar usaha baik ini tidak meninggalkan kelompok bumiputera.
Kejayaan yang paling diingati terhadap Mohamad dan KPKM ialah program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung selama 11 hari September lalu telah mencatatkan kejayaan cemerlang seiring dengan edisi MAHA yang ke-100 tahun ini. MAHA mencatatkan jumlah pengunjung melebih 5 juta orang manakala merekodkan hasil melebihi RM5 juta serta RM7 bilion dalam bentuk MOU. Ia merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia serta mendapatkan penghargaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Oleh itu, komitmen jitu wira melayu pimpinan negara berusia 69 tahun ini tidak boleh diremehkan. Aksinya yang bersahaja sama ada di pentas politik mahupun di Dewan Rakyat meletakkan beliau sebagai pemimpin politik yang menyerlah serta berkesan dimata rakyat. Harapannya usaha reformasi yang digagaskan oleh Mohamad untuk mengangkat ‘kedaulatan makanan’ berjaya dan dinikmati oleh semua kelompok rakyat Malaysia.
Cikgu Syazmir HN