
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadi tonggak utama pembaharuan sistem pendidikan negara, hasil usaha langsung terakhir daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang memainkan peranan penting dalam penggubalannya. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Dokumen dasar ekonomi nasional itu telah dimuktamadkan dan bersedia untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang. RMK13 memberi tumpuan khusus kepada reformasi pendidikan secara menyeluruh, yang dilihat sebagai pemacu utama pembangunan modal insan dan daya saing ekonomi Malaysia dalam dekad mendatang.

“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Antara aspek penting dalam reformasi ini ialah penstrukturan semula sistem pembiayaan pendidikan tinggi, penyusunan dasar pembangunan kemahiran masa hadapan, dan pelaksanaan kerangka baharu bagi kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri.
Reformasi pendidikan ini, menurut Rafizi, merupakan sebahagian daripada pendekatan ekonomi jangka panjang untuk menjadikan pendidikan sebagai tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara. Beliau menekankan bahawa pembaharuan pendidikan bukan hanya tanggungjawab kementerian tertentu, tetapi isu nasional yang memerlukan komitmen rentas sektor.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13,” tambah beliau.
Rafizi turut menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam di Kementerian Ekonomi akan terus melaksanakan program-program yang digariskan dalam RMK13 dengan berkesan, serta mengekalkan semangat reformasi yang telah diasaskan bersama sepanjang tempoh beliau di kementerian.