KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof, menyatakan sokongan penuh terhadap agenda reformasi pendidikan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sambil mencadangkan langkah khusus bagi menangani isu buli di sekolah.
Menurut beliau, RMK13 memberi penekanan penting kepada pembangunan insan madani sebagai asas pembentukan masyarakat yang saksama dan progresif, seiring dengan peruntukan terbesar yang diperuntukkan kepada sektor pendidikan. Antara inisiatif yang dipuji termasuk mewajibkan prasekolah seawal umur lima tahun, pembelajaran wajib di peringkat sekolah menengah, serta usaha memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Namun, Azli menzahirkan kebimbangan terhadap gejala buli yang semakin meningkat di institusi pendidikan, dengan statistik menunjukkan 3,887 kes dilaporkan pada 2022, meningkat kepada 6,528 kes pada 2023, dan 6,208 kes pada 2024. Beliau menegaskan, walaupun peningkatan ini mencerminkan keberkesanan sistem pelaporan seperti Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia tetap memerlukan langkah pencegahan yang tuntas.
Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional itu menambah, lonjakan kes buli di institusi pendidikan ini menggusarkan masyarakat awam sehingga ia dikaitkan dengan insiden kematian Wan Ahmad Faris, pelajar Maahad Tahfiz Kota Bharu serta Zara Qairina di Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha Papar.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar Surah Al-Hujurat dijadikan asas pembinaan karakter pelajar di sekolah.
“..daripada kepatuhan kepada Allah dan rasul, adab berurusan dengan ketua dan orang yang lebih senior, memastikan kesahihan berita, adab berbeza dan had bertelingkah, mendamaikan saudara yang bersengketa, larangan mencerca, larangan mencari kesalahan orang lain, larangan menggelar dengan gelaran yang buruk, larangan berprasangka, larangan mengaibkan orang, mengumpat sehingga membawa kepada fitnah.
Semuanya ini diceritakan dalam surah al Hujurat,” katanya.
“Saya percaya, jika semua pelajar dapat menghafal dan memahami Surah Al-Hujurat sebagai panduan hidup, sekolah akan lebih aman dan pelajar dapat dididik dengan lebih baik,” ujar beliau sambil menambah bahawa pembinaan karakter ini seiring dengan hala tuju pendidikan negara 2027 yang menekankan konsep insan sejahtera berpaksikan karamah insaniah.
Azli berharap cadangannya mendapat perhatian KPM agar matlamat reformasi pendidikan dalam RMK13 benar-benar dapat dilaksanakan demi melahirkan generasi berilmu, beradab dan berdaya saing.