Alhamdulillah, berbesar hati memenuhi undangan sebagai Perasmi Mesyuarat Tahunan Pemuda AMANAH Kawasan Lumut bagi tahun 2025. Satu platform penting untuk berkongsi pandangan dan refleksi strategik berkenaan perjalanan dalam berpolitik dan membina negara bangsa.
Menyorot kembali sejarah, didapati bahawa denyut nadi perjuangan politik tanah air sebelum merdeka seringkali dipelopori oleh golongan muda yang berjiwa kental dan berwawasan jauh.
Mengambil contoh Kesatuan Melayu Muda (KMM), parti politik Melayu terawal, ditubuhkan pada tahun 1937 oleh figura-figura muda seperti Allahyarham Ibrahim Yaakob (ketika itu berusia 27 tahun) dan Allahyarham Ishak Haji Mohamad (29 tahun).

Bayangkan, dalam serba kekurangan, tanpa kemudahan teknologi dan di bawah tekanan penjajah, mereka berani mengemudi sebuah gerakan politik dengan cabaran yang jauh lebih getir. Semangat inilah yang perlu diwarisi dan semarakkan.
Hari ini, Parti AMANAH Negara lahir dan berkembang dalam era ledakan teknologi dan maklumat. Walaupun lanskap cabarannya berbeza, namun tidak berkurang kelihatan hebatnya mereka mengukir sejarah. Ia bukan sekadar menguruskan kemudahan sedia ada, tetapi dituntut untuk memikirkan kelestarian (sustainability), kemampanan (viability) dan kebolehan untuk survival (survivability) parti ini di pentas politik Malaysia yang dinamik.
AMANAH bukan sahaja perlu dilihat sebagai sebuah parti yang hanya bertujuan memenangi pilihan raya, tetapi perlu membina asas, struktur, sistem nilai, dan proses dalaman yang kukuh, mapan, dan berdaya tahan (resilient)
Ini bukan lagi soal membangun sebuah parti semata-mata, tetapi membina sebuah institusi politik yang mampu bertahan dan terus relevan untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya.
Pemuda AMANAH, sebagai sayap dan enjin penggerak parti, tidak boleh lagi terperangkap dalam takuk lama. Sayap ini perlu bergerak melangkaui politik kebajikan konvensional seperti sekadar mengedar beras. Aspirasi dan ekspektasi rakyat terhadap khidmat ahli politik telah berevolusi.
Mereka mendambakan idea-idea segar, solusi inovatif, dan kepimpinan yang mampu merencana masa depan. Pemuda AMANAH perlu menjadi barisan hadapan dalam menterjemahkan hala tuju baru parti, memanfaatkan teknologi untuk pelaksanaan dasar yang progresif dan inklusif.
Menjelang usia satu dekad penubuhan Parti AMANAH Negara tidak lama lagi, slogan “SATU DEKAD, SATU MISI, SATU HATI” membawa pengertian yang amat mendalam. Ia bukan sekadar laungan retorik, tetapi sebuah komitmen untuk memperkukuh gerak kerja, menyatukan fikrah, dan memfokuskan tenaga ke arah pencapaian misi besar parti.
Dalam mana-mana organisasi, pemimpin dan ahli datang dan pergi, semangat ada pasang surutnya. Namun, kesatuan hati dan matlamat yang jelas adalah sauh yang akan memastikan kapal perjuangan ini terus belayar meredah badai.
Justeru, seruan kepada seluruh Pemuda AMANAH, untuk menghayati sepenuhnya semangat ini. Marilah kita buktikan bahawa Pemuda AMANAH adalah aset paling berharga parti, yang bukan sahaja faham sejarah perjuangan bangsa tetapi lebih penting lagi, mampu merangka dan memimpin agenda masa depan negara.
Semoga Allah SWT menyatukan hati-hati kita, Pemuda Parti AMANAH Negara, dalam mencapai misi membawa politik AMANAH, PROGRESIF, dan PEDULI demi Malaysia yang kita cintai.
Ridhuan Esa