SelangorToday

RENYAH KARENAH PEMBANGKANG, MADANI TETAP BERJAYA LULUSKAN RUU BERMAKNA

Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung mulai penghujung Jun sehingga minggu lalu menyaksikan pelbagai ragam wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Meskipun sidang kali ini tidak mempunyai aturan mesyuarat yang menjadi perhatian umum seperti Titah Yang Dipertuan Agong sempena pembukaan sidang mahupun pembentangan Belanjawan tahunan, namun sidang kali ini memberi kesan yang besar kepada rakyat.

Pembangkang yang baru sahaja gagal menawan DUN Kualau Kubu Bharu, Selangor di tangan HARAPAN dan kekal menduduki kerusi DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang cuba meraih perhatian orang awam dengan pelbagai aksi mereka di Dewan Rakyat termasuk memberikan pelbagai alasan untuk menangguhkan kelulusan Rang Undang-Undang kerajaan.

Terdapat juga Ahli Parlimen dari blok pembangkang yang digantung tugas sebagai ahli dewan selama 6 bulan akibat melibatkan nama-nama penjawat awam dalam sesi perbahasan serta menggunakan surat layang sebagai fakta perbahasan. Namun kerajaan MADANI kekal komited dengan aspirasi membantu rakyat dengan meluluskan beberapa rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Bagi memenuhi aspirasi kerajaan MADANI yang komited kepada kuasa autonomi wilayah Sabah dan Sarawak, melalui Kementerian Pengangkutan telah membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024. RUU ini bermakna buat rakyat dan kerajaan Sarawak kerana pembubarannya  memberi ruang kepada Wilayah Sarawak mengemudi pelabuhannya sendiri. Seiring dengan itu Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP turut membentangkan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 sekaligus menukar status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Wilayah Sarawak.

Dalam hal ini, kerajaan MADANI berjaya mengotakan aspirasinya yang tidak menekankan atau mengambil hak sesiapa. Atas asas yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau MA63, MADANI telah melaksanakan langkah tersebut sekali gus menafikan ia sebagai hanya satu retorik politik.

Sementara itu, masalah asas yang mengakar dalam sistem kesihatan awam Malaysia mula mendapat sentuhan menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad. Dalam sidang tersebut, Naib Presiden AMANAH itu membentangkang Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 walaupun mendapat tentangan hebat daripada blok pembangkang. Secara jelasnya, pindaan RUU ini bertujuan untuk membolehkan institusi latihan dibawah KKM melalui anggota Majlis Perubatan Malaysia (MMC) diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kesannya jumlah pakar perubatan yang diperlukan melalui unjuran semasa mampu disediakan kelak. Mengikut data, jumlah pakar perubatan sedia ada sebanyak 8,953 orang. Namun unjuran keperluan jumlah pakar perubatan menjelang tahun 2030 adalah 22,435 orang.

Akibat keperluan yang sangat melebar, usaha pindaan RUU ini amat bermakna dengan harapan ia bakal memberi kesan kepada ketahanan sistem kesihatan awam. Walaupun terdapatnya kekhuatiran dalam pelaksanaan berhubung jaminan kualiti pakar dan program sarjana serta ‘parallel pathway melalui pelaksanaan RUU ini, Dr. Dzulkefly memberi jaminan kedua-dua program itu bukan saja perlu memenuhi standard minimum latihan kepakaran perubatan tetapi juga piawaian berdasarkan kepakaran lebih spesifik yang ditetapkan MMC, sebelum diberikan pengiktirafan.

Masalah ini bukanlah baru, ia telah berlanjutan sejak bertahun lamannya, pelbagai isu teknikal berjaya diurus dengan baik selain mempunyai tekad politik yang tinggi dikalangan pimpinan kerajaan MADANI. Oleh itu sedikit demi sedikit masalah kesihatan awam yang membelengu negara dan rakyat menampakkan usaha yang sedang diperbaiki.

Seterusnya, figura yang dipertanggungjawabkan dalam mereformasi pelbagai institusi di Malaysia termasuk pelbagai RUU iaitu Azalina Othman Said telah membentang pelbagai RUU untuk dipinda. Namun pindaan yang paling menggembirakan adalah rang undang-undang yang mewujudkan kedudukan kompeten saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding. Sebanyak empat akta yang terlibat bagi membolehkan status kanak-kanak melibatkan proses perbicaraan diangkat sebaiknya. Antaranya RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024.

Pindaan ini dilakukan demi membuka ruang bagi saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam keadaan yang lebih kondusif kepada keperluan mereka, lantas mengurangkan trauma yang dihadapi. Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO menyatakan kedudukan undang-undang saksi kanak-kanak sedia ada bersifat diskriminasi dan lapuk termasuk andaian undang-undang lapuk bahawa kanak-kanak terdedah kepada fantasi dan tidak boleh dipercayai. Faktor itu menyebabkan kekurangan laporan dan ibu bapa tidak mahu terbabit dalam proses perbicaraan atau membabitkan kanak-kanak dalam prosedur mahkamah. Maka pindaan ini akan menjadikan ibu bapa dan kanak-kanak lebih yakin melaporkan kesalahan dan lebih selesa memberi kerjasama dalam prosiding jenayah jika yakin kepentingan kanak-kanak yang terbabit akan dijaga.

Pindaan ini sangat bermakna memandangkan isu mengeksploitasi kanak-kanak makin kerap berlaku. Ini juga seiring dengan perkembangan dunia yang semakin memesat. Malaysia melalui kerajaan MADANI tidak ketinggalan dalam mengangkat kedudukan kanak-kanak pada tahap yang sepatutnya sambil mengambil pendekatan progresif dalam setiap undang-undang yang ada.

Terakhir, dibawah teraju Saifuddin Nasution Ismail, Kementerian Dalam Negeri membentangkan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024. RUU ini dibentangkan bagi membezakan tafsiran di antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih. RUU ini digubal dengan menerapkan nilai ihsan bagi meningkatkan akses kepada rawatan pemulihan dadah dan bahan serta memperkasa pembabitan komuniti untuk berganding bahu dengan kerajaan.

Selepas RUU dikuatkuasakan kelak mereka yang terbabit dalam penagihan dan penyalahgunaan bahan itu akan dibawa ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi rawatan dan pemulihan serta pusat rawatan persendirian, berbanding hukuman penjara ketika ini. Pindaan ini sangat penting kerana proses pemulihan bagi penagihan dan penyalahgunaan dadah/bahan perlu dilakukan berbanding memenjarakan mereka. Ruang perubahan ini dilakukan bagi memastikan masyarakat terlibat sama dalam proses pemulihan. Ketagihan yang membarah dalam negara ini perlu ditangani secara baik dan kerajaan MADANI berjaya memahami dan melakukan sepatutnya demi rakyat.

Kesemua RUU yang telah dibentangkan ini tidak akan berjaya dilakukan jika kerajaan MADANI tidak mempunyai kesepakatan sebagai sebuah entiti pentadbiran. Namun kesepaduan itu berjaya ditonjolkan sehingga mampu mengelak daripada diganggu oleh pembangkang.

Keyakinan rakyat kepada kerajaan MADANI berjaya ditingkatkan setelah banyak RUU yang memberi kesan baik kepada rakyat berjaya dibentang dan diluluskan. Hasil kestabilan politik, perpaduan politik yang kuat meningkatkan perjalanan pentadbiran Malaysia.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version