Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam serta kaum di negara ini.
Titah baginda, negara kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan warga apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik.
“Dan apabila agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan.
“Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung, menyalakan unggun. Jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-68 di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.
Titah baginda, rakyat dibimbangi kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan apabila disemaikan prasangka atau disuntik racun curiga.
“Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka, tidak berasa curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini.
“Kaum, budaya dan bahasa yang pelbagai adalah antara ciptaan yang menunjukkan kebesaran Ilahi. Negara Malaysia yang begitu pelbagai rakyatnya telah ditentukan oleh ALLAH SWT,” titah baginda.
Baginda bertitah, semakin didengari juga suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
“Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa, yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif.
“Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.
“Belakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab, malah memijak adat, semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat,” titah baginda.
Titah baginda lagi, terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina, dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adabnya.
“Cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab.
“Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya, dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat. Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab, papa adat,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, raja pemerintah yang bertakhta adalah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu.
“Namun raja pemerintah juga perlu memberikan naungan saksama kepada warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa yang telah bermastautin di bumi ini, yang terbukti telah menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara, menghayati semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
“Takhta dalam menjunjung amanah Ilahi perlu memenuhi doa dan harapan warga, berperanan sebagai payung naungan tempat berteduh kepada setiap warga yang telah sama-sama memecah ruyung menghasilkan sagu, warga yang telah sama-sama mendaki bukit meredah lembah, warga yang telah sama-sama mengharungi ombak menempuh badai untuk membangunkan sebuah negara yang merdeka, aman, makmur lagi berdaulat,” titah baginda. -Sinar Harian