KUALA LUMPUR – Krisis politik yang berlaku di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar negeri itu mendedahkan kelemahan serius dalam pentadbiran serta rapuhnya persefahaman politik dalam Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Senator Dr Mujahid Yusof Rawa.
Menurut beliau, walaupun Perlis merupakan negeri paling kecil di Semenanjung Malaysia, ia kini menjadi tumpuan nasional susulan krisis tersebut yang memaksa Raja Perlis melantik Menteri Besar baharu.
Dr Mujahid berkata, antara faktor utama krisis itu adalah tekanan yang dihadapi oleh Menteri Besar terdahulu, khususnya berkaitan desakan pelaksanaan projek tertentu.
“Jika benar seperti yang didakwa Presiden PAS, wujud tekanan yang tidak mampu ditolak sehingga menyebabkan Menteri Besar meletakkan jawatan, maka ini membawa persoalan besar tentang keupayaan kepimpinan tertinggi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, seorang Menteri Besar seharusnya memiliki visi, misi dan kejelasan pentadbiran serta kekuatan moral untuk mengawal keadaan, bukannya tunduk kepada tekanan.
“Retorik seperti ‘Islam adalah penyelesaian’ atau ‘membangun bersama Islam’ tidak bermakna jika gagal diterjemahkan dalam bentuk keadilan, pentadbiran yang berintegriti dan keupayaan mentadbir. Inilah yang sebenar-benarnya siasah syariah, bukan sekadar slogan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr Mujahid berkata krisis tersebut turut membongkar kelemahan asas pakatan politik dalam PN yang disifatkannya lebih bersifat struktural dan berasaskan kepentingan sempit, bukannya ideologi bersama.
“Pakatan ini tidak dibina atas kesefahaman nilai dan misi besar untuk rakyat. Ia berbeza dengan Pakatan Harapan yang berteraskan ideologi reformasi, dan Barisan Nasional yang berpaksikan konsep perpaduan,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan PN di Perlis menunjukkan bahawa pakatan politik yang longgar dan tidak berteras ideologi tidak mampu membawa hala tuju besar yang diharapkan rakyat.
Dr Mujahid turut menegaskan bahawa krisis ini memberi kesan langsung kepada rakyat, sekali gus membuka ruang untuk mereka membuat perbandingan secara objektif tentang gabungan politik yang lebih layak memimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kerajaan di peringkat Persekutuan perlu mengambil pengajaran daripada episod ini. Kelemahan pentadbiran tidak boleh terus disalahkan kepada pihak lain, sebaliknya perlu diakui berpunca daripada kegagalan mentadbir dalam kalangan PAS dan Bersatu sendiri,” katanya.