SEPANG – Seramai 500 orang anak-anak dari Parlimen Sepang menerima set kelengkapan persekolahan bernilai keseluruhan RM91,500 menerusi Program Jom Ke Sekolah 2026 Peringkat Parlimen Sepang, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu tahun 2026.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi.

Setiap penerima menerima sumbangan bernilai RM183 yang merangkumi pakaian sekolah, kasut, beg galas, alat tulis, stoking, tali pinggang serta lencana magnetik Jalur Gemilang. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa serta memastikan murid-murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa dan yakin.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang (PKRPS) dengan kerjasama YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Yayasan Taqwa MAIWP, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam aspek pendidikan.
Menurut YB Datuk Hajah Aiman Athirah, pendidikan merupakan teras penting dalam pembinaan masa depan negara dan kerajaan komited memastikan tiada anak yang tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.
Di peringkat Parlimen Sepang, sebanyak RM3.7 juta peruntukan telah disalurkan, dengan lebih RM1 juta daripadanya dikhususkan kepada inisiatif pendidikan bagi menjamin akses dan sokongan pendidikan yang menyeluruh kepada masyarakat setempat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Haji Abdullah Zuhee bin Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP; Mohd Kamarul Arifin bin Mohd Wafa, Pegawai Tugas-Tugas Khas YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sepang serta pemimpin-pemimpin komuniti dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Program seumpama ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak Sepang untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih, kebersamaan dan keadilan sosial.