 
                SHAH ALAM, 12 Ogos — Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al-Rashid, membangkitkan persoalan keutamaan kerajaan dalam membelanjakan peruntukan besar seperti RM8.4 juta bagi pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar.

Beliau menegaskan, dana sebesar itu sepatutnya disalurkan kepada isu lebih kritikal di sekolah, termasuk penambahan ruang kelas dan fasiliti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang kini berdepan kekangan serius, khususnya di kawasan bandar di Selangor.
“Bagi pelajar pendidikan khas, kekurangan bilik darjah, peralatan sokongan dan fasiliti mesra OKU membataskan pembelajaran mereka. Ini bukan sekadar isu keselesaan, tetapi menjejaskan perkembangan anak-anak ini,” katanya.

Menurut Danial, semangat patriotisme tidak akan pudar jika dana disalurkan kepada peningkatan kemudahan asas, malah akan lebih subur apabila murid dapat belajar dalam persekitaran yang selesa, lengkap dan inklusif.
“Guru lebih bersemangat, murid lebih fokus, dan ibu bapa lebih yakin menghantar anak ke sekolah. Itu patriotisme sebenar,” tegasnya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            