SelangorToday

RS-1 : PENJARA, DENDA RM50,000 CEMAR ALAM SEKITAR

Denda antara RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun bakal dikuatkuasakan terhadap individu yang melakukan jenayah alam sekitar. Menurut EXCO alam sekitar, pihak perundangan sedang meneliti draf enakmen itu secara terperinci dan dalam pertimbangan untuk membawa semula kepada peringkat persekutuan.

“Sekiranya rang undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diluluskan, pesalah boleh dihukum dengan perintah kerja pemulihan oleh mahkamah. Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan sentiasa menyemak undang-undang kecil bagi memastikan perundangan sentiasa relevan dari semasa ke semasa,” kata Hee Loy Sian ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada sidang Dewan Negeri Selangor, Isnin lalu.

Beliau yang mewakili EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han turut menyentuh projek sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat yang bakal menjana pendapatan. Beliau berkata pembangunan oleh anak syarikat negeri Worldwide Holdings Berhad memberi dampak minimum terhadap alam sekitar dengan kaedah tersebut turut digunakan negara lain secara meluas.

Exit mobile version