Selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19, Rumah Terbuka Aidilfitri untuk rakyat Selangor dijangka berlangsung di setiap daerah. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun pelaksanaan program itu belum dimuktamad dan perlu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Ramai yang bertanya adakah kita (Kerajaan Negeri) akan mengadakan rumah terbuka. Saya kena lihat kembali dan bincang dengan Exco (kerana) pada awalnya kita tidak rancang serta teruskan dengan program Senandung Aidilfitri. Tetapi jika ada keperluan kita akan anjurkan di peringkat daerah kerana dengan cara itu kita dapat bertemu lebih ramai masyarakat,” katanya ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri bersama ahli MMKN, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agensi di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini hari ini.
Jamuan skala kecil diadakan bagi meneruskan tradisi tahun-tahun terdahulu sebaik selesai solat sunat Aidilfitri dan sebelum mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana. Sementara itu, beliau memaklumkan program baharu termasuk kesihatan khusus untuk rakyat negeri ini dijangka dilancarkan dua minggu lagi.