SelangorToday

RUNDINGAN KERUSI BELUM BERMULA, SEKARANG MASA UNTUK KUKUHKAN PERPADUAN – AMANAH SELANGOR

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof mengajak UMNO ke meja rundingan untuk membincangkan tentang tuntutan UMNO Bahagaian Kota Raja untuk bertanding di dalam kawasan tersebut. Memetik kenyataan beliau melalui portal FMT, Hj Azli berkata sebarang tuntutan kerusi antara parti komponen dalam kerajaan perpaduan wajar dibincangkan secara rundingan dalaman antara gabungan bagi melihat mahupun mempertimbangkan kebolehan sesuatu parti untuk memenangi kerusi yang dirunding.

Hj Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, masing-masing berhak untuk menuntut kerusi untuk ditandingi. Namun tuntutan dan keputusannya adalah ditentukan melalui rundingan yang diputuskan secara dalaman bukannya bercakap secara terbuka dan dirunding di media sosial. Kebiasaannya ‘status quo’ yang akan bertanding bagi kerusi yang telah dimenangi oleh parti dalam kerajaan perpaduan.

Walau bagaimanapun, Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam itu menegaskan sebarang rundingan kerusi belum pun bermula. Sampai masanya, parti komponen dalam kerajaan perpaduan boleh memberikan pandangan masing-masing dan sebarang keputusan akan dibuat dalam rundingan melibatkan semua parti. Buat masa ini, tumpuan utama  AMANAH dan seluruh parti komponen dalam kerajaan perpaduan mengukuhkan kerjasama sebagai kerajaan bagi memastikan semua dasar yang sedang digagaskan dalam kerajaan MADANI dilaksanakan dengan baik, difahami di peringkat akar umbi dan menepati sasaran.

Minggu lalu, sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja diadakan, Ketuanya Tengku Zafrul Abdul Aziz menuntut satu kerusi untuk ditandingi oleh UMNO di dalam kawasan Parlimen Kota Raja. Untuk rekod, Parlimen Kota Raja dimenangi oleh Presiden AMANAH yang juga Timbalan Pengerusi HARAPAN, Mohamad bin Sabu dengan majoriti terbesar di semenanjung Malaysia iaitu mencecah 70 ribu undi, manakala dua DUN didalam Parlimen tersebut iaitu DUN Sentosa dan Kota Kemuning masing-masing dimenangi oleh HARAPAN dalam PRN Ogos 2023. Namun satu DUN iaitu Sungai Kandis terlepas ke tangan Perikatan Nasional(PN) dengan majoriti hanya 167 undi. Barisan Nasional berada ditempat ketiga selepas HARAPAN dan PN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu bagi kerusi Parlimen Kota Raja. – SelangorToday

Exit mobile version