Ahli Parlimen Shah Alam Hj Azli Yusof mengajak ahli – ahli di Dewan Rakyat untuk mengakui pembentangan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 merupakan satu perkara penting dalam memacu kecekapan pentadbiran kerajaan.
Melalui ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat sebentar tadi, Hj Azli berkata RUU tersebut mempunyai potensi yang besar. Secara dasarnya ia sangat penting untuk mengoptimakan penggunaan data yang dipunyai oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
“Sebelum ini banyak halangan bagi perkongsian data ini kerana setiap data dibawah kawalan jabatan dan agensi masing-masing yang tertakluk kepada peraturan tertentu.” katanya.
Tambah Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional itu, melalui pelaksanaan perkongsian data yang bersepadu dan sistematik ini, kerajaan dapat memanfaatkan untuk tujuan data raya dan kerja penyelidikan.
Katanya lagi, RUU ini mampu mengurangkan karenah birokrasi dan menggunakan data yang ada untuk merangka dasar yang lengkap dan efektif demi membantu rakyat.
Walau bagaiamanapun, Hj Azli membangkitkan persoalan yang bakal menjadi cabaran apabila RUU ini terlaksana.
“Apakah langkah memastikan isu ‘privacy’ dan keselamatan data sensitif individu tidak akan bocor dan disalahgunakan?” soalnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu mencadangkan rangka kerja keselamatan data yang kukuh dan piawaan keselamatan siber yang mesti menjadi keutamaan.
Sebelum itu, RUU Perkongsian Data telah dibentangkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo buat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini. – SelangorToday