 
                KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menegaskan penolakan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 hanya akan menjejaskan nasib rakyat, khususnya mereka yang tinggal dan memiliki harta di kawasan usang, uzur serta tidak selamat.
Beliau menolak dakwaan kononnya RUU URA akan merampas hak Melayu dan Bumiputera atau mengikis kuasa kerajaan negeri.
“Akta ini diwujudkan bagi membela masyarakat yang tinggal dan mempunyai harta di kawasan usang, uzur dan tidak selamat supaya kawasan itu boleh dibangunkan semula dengan syarat yang ketat. Pemilik asal tetap menjadi syarat utama pembinaan semula, dan mereka akan dibenarkan terus kekal di situ selepas pembangunan dijalankan. Perkara ini jelas disebut dalam Fasal 24(a) RUU URA,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurutnya, RUU URA memberi lebih banyak kebaikan berbanding kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat kerana ia menjamin kediaman lebih selesa dan selamat tanpa menjejaskan tanah rizab Melayu atau tanah wakaf.
“Tanah rizab Melayu kekal rizab Melayu, tanah wakaf juga kekal tanah wakaf. Pembangunan hanya dilaksanakan di kawasan perumahan yang usang, bukannya di tanah kosong. Malah, syarat kelulusan menuntut ambang persetujuan pemilik sebanyak 51 peratus, manakala 75 atau 80 peratus hanya terpakai bagi keadaan tertentu,” jelas beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan pula menegaskan dakwaan kuasa kerajaan negeri terhakis adalah tidak benar, sebaliknya RUU URA memperkukuh peranan negeri dalam urusan pembangunan semula bandar.
“Isu orang Melayu akan diusir dari bandar tidak timbul. Jika projek perumahan uzur dibangunkan semula, pemilik asal tetap dikekalkan dengan rumah baharu serta kemudahan lebih baik. Tanah rizab Melayu tetap kekal sebagai tanah rizab Melayu. Dakwaan kononnya orang Melayu diusir adalah fitnah semata-mata,” katanya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            