
TAMAN TEMPLER, 30 Mei 2025 – Penduduk Selayang dan sekitarnya dijemput memeriahkan Karnival Ceria Selangor yang bakal berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang pada Sabtu ini, bermula seawal jam 7 pagi.
Karnival anjuran kerajaan negeri Selangor ini menjanjikan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk seisi keluarga, selain mengetengahkan mesej sosial dan program pemberdayaan komuniti dalam suasana santai dan penuh keceriaan.
Antara tarikan utama ialah Larian Kasih Ibu, yang membawa mesej sokongan terhadap kempen menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Para peserta bebas menyertai larian meskipun tanpa pendaftaran awal, sebagai simbol solidariti dan kasih sayang keluarga.
Kanak-kanak turut tidak ketinggalan dengan aktiviti seperti:
- Pertandingan Cipta Wau
- Beg sekolah percuma
- Sudut Kanak-Kanak interaktif
- “Wall of Fame Sentuhan Kasih” – ruang melakar harapan dan penghargaan

Sementara itu, golongan wanita berpeluang menyertai:
- Jelajah Kembali Bekerjaya
- Pendaftaran subsidi mamogram
- Saringan kanser serviks percuma
Golongan remaja dan belia pula boleh menikmati sesi santai di KafeTEEN Mobile, menyertai aktiviti interaktif, dan menyalurkan pendapat dalam ruang ekspresi suara mereka.
Acara yang turut diserikan dengan cabutan bertuah dan hadiah menarik ini terbuka kepada semua secara percuma.
Penganjur menegaskan, Karnival Ceria Selangor bukan sahaja platform hiburan keluarga, tetapi medan membina kesedaran dan menggalakkan penyertaan aktif rakyat dalam isu-isu sosial dan kesejahteraan komuniti, sejajar dengan semangat #MalaysiaMADANI.