
Pertembungan semula bagi merebut jawatan Ketua Wanita PKR antara penyandangnya, Fadhlina Sidek, dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, dijangka berlaku pada pemilihan parti yang akan datang.
Ia selepas Rodziah malam tadi mengumumkan untuk sekali lagi bertanding merebut jawatan itu.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pencalonannya selepas beliau sebelum ini membayangkan kemungkinan bertanding jawatan berkenaan.
Rodziah berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi membantu mengukuhkan struktur organisasi parti dalam membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kepimpinan wanita dalam PKR memerlukan kepimpinan politik yang sebenar, bukan hanya kepimpinan untuk program atau perkara biasa.
“Jika kita komited kepada politik, kita mesti memartabatkan lebih ramai wanita yang mempunyai kesedaran politik, mampu menangani isu semasa, dan berupaya merangkumi pelbagai latar belakang untuk memajukan agenda sayap,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Ampang.
Beliau turut menyasar untuk meningkatkan penyertaan perwakilan wanita muda dalam sayap itu kepada 50 peratus dalam usaha meremajakan struktur organisasi berkenaan. -Berita Harian