
Orang ramai diminta berhenti membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini yang mengakibatkan kemusnahan yang besar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kenyataan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Sebaliknya, beliau berkata, ketika umat Islam meraikan Aidilfitri, masyarakat perlu menunjukkan empati dan solidariti kepada mangsa dengan tidak menyebarkan dakwaan belum disahkan.
“Orang awam boleh bantu dengan tidak membuat spekulasi atau andaian yang kini bersepah di media sosial.
“Tiba-tiba ramai pula yang jadi pakar gas dan minyak, menganalisis punca tragedi ini. Walaupun mereka boleh berbuat demikian atas nama kebebasan bersuara, ini adalah isu siasatan polis, tolong beri kepercayaan kepada polis, biarlah polis siasat tanpa gangguan, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.
Kebakaran besar paip gas yang berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri Selasa lalu, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.
Kebakaran saluran paip gas sepanjang 500 meter bermula pada jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau menerima taklimat berkala mengenai perkembangan siasatan dan menegaskan usaha pengumpulan bukti memerlukan penelitian dan disiplin yang tinggi.
Ini adalah usaha siasatan yang rapi dan memerlukan ketelitian dalam mengumpul bukti. Saya mohon masyarakat letakkan kepercayaan penuh kepada pasukan polis untuk menyelesaikan siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen sudah digerakkan bagi membantu mangsa terbabit.
Katanya, JPN menghantar pasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu penduduk mendapatkan semula dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan sijil perkahwinan dengan percuma.
“JPN membuka kaunter di lokasi dan saya arahkan supaya pastikan tiada yang tercicir. Dokumen ini penting bagi membolehkan mangsa menerima bantuan susulan daripada agensi lain.
“Imigresen turut diarahkan untuk membantu menggantikan pasport antarabangsa yang hilang atau rosak tanpa bayaran. Ini antara bantuan segera disediakan KDN,” katanya. – Berita Harian