SelangorToday

SALAHKAH MENYENTUH BIBIR ANAK SAUDARA? INI PENJELASAN EXCO WANITA

Hari ini ‘Abang Bas’ kena dakwa. Ramai mungkin tak faham, apa salahnya kalau ‘Abang Bas’ menyentuh bibir anak buahnya sendiri?

Saya enggan memberikan komen berkenaan kes ‘Abang Bas’ ini untuk menghormati proses mahkamah, maka saya bincangkan secara umum berkenaan sentuhan selamat.

Sebenarnya, konsep sentuhan selamat ialah lebih luas daripada hanya kanak-kanak yang bukan ahli keluarga.

4 anggota badan yang tidak boleh disentuh:

  1. Bibir & mulut
  2. Payu dara/dada
  3. Antara dua peha & kemaluan
  4. Punggung & dubur

Anak buah ke, anak sendiri ke, selepas anak-anak ini boleh menguruskan diri sendiri (mandi sendiri, bersuci sendiri) dan mengenal baik-buruk, kita sudah tidak boleh sentuh anggota-anggota badan ini tanpa keperluan yang munasabah.

Kenapa?

Sebab banyak kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh keluarga terdekat, kerana kanak-kanak tersebut sudahpun percaya kepada mereka.

Kita bukan nak cetuskan prasangka sesama ahli keluarga, tapi kita cegah sebelum apa-apa jadi. Nak bermesra, banyak lagi cara lain untuk bermesra. Kita wujudkan suasana keluarga yang selamat.

Sesama dewasa pun, kita tak boleh sentuh anggota badan ini tanpa kebenaran. Contoh yang kerap berlaku, rabaan terhadap punggung wanita dalam LRT. Ini memang gangguan seksual.

Dalam konteks yang lebih santai, ada juga yang bergurau dengan menyentuh bahagian nombor 2, 3, dan 4 kawan. Gurau katanya. Hal ini tetap salah, jika sentuhan itu tanpa izin.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Jangan normalisasikan menyentuh anggota badan yang tidak sepatutnya disentuh ini.

Hubungan bukan platonik dengan kanak-kanak bukan gurauan. Menyentuh anggota badan yang tidak sepatutnya juga bukan gurauan.

Sebagai masyarakat, kita kena cakna tentang perkara ini. Kalau nampak, bertindak – tegur dan lapor. Supaya kita dapat maju bersama, dengan selamat, kasih sayang, dan aman.

Anfaal Saari

Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor

Exit mobile version