SelangorToday

SALAHUDDIN BERI AMARAN PENIAGA BERSEKONGKOL MANIPULASI HARGA GULA

Tindakan disenarai hitam serta-merta akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk syarikat, pengilang, pemborong atau peruncit yang didapati bersekongkol memanipulasi harga jualan gula putih bertapis kasar dan halus atau dinamakan ‘gula rakyat’ yang disubsidi kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata tiada bertolak ansur dengan pihak yang mengambil kesempatan terhadap usaha kerajaan, malah tindakan tegas terus diambil tanpa kompromi demi menjaga kepentingan rakyat.

“Kepada pengilang, pemborang atau peruncit yang ‘bermain-main’ dan berkomplot dengan harga gula rakyat ini, akan menerima akibat, mereka akan didakwa, disaman dan dibawa ke mahkamah.

“Mereka yang terlibat juga akan disenaraihitamkan serta-merta, menangis air mata darah sekali pun berjumpa saya (minta tidak disenarai hitam)… saya tak berkompromi demi rakyat,” katanya.

Salahuddin berkata demikian ketika menggulung pada sesi penjelasan mengenai kelulusan yang diberikan kepada syarikat gula tempatan, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang dinamakan sebagai gula jernih untuk pasaran runcit.

Ahli parlimen Pulai itu juga berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengapungkan semula harga gula namun jika ekonomi pulih langkah menelitinya sedia dilakukan.

Terdahulu ketika menjelaskan perkara itu, Salahuddin berkata MSM dan CSR dibenar untuk mengeluar serta memasarkan gula jenis baru itu pada harga jualan runcit yang tidak dikawal oleh kerajaan atau pengapungan harga mengikut pasaran.

“Mengambil kira kos pengeluaran industri gula tempatan termasuk tanggungan kerajaan sekiranya melibatkan pemberian subsidi maka kementerian membenarkan pengeluaran gula jernih untuk dijual di pasaran runcit bertujuan untuk memberikan pilihan kepada pengguna,” katanya.

Pada sesi itu, lima ahli parlimen meminta penjelasan lanjut selain rata-rata menyatakan kebimbangan bahawa langkah penjualan gula jernih akan menyebabkan berlaku lebih banyak kes pencatutan harga dan menyembunyikan bekalan gula.

Exit mobile version