SelangorToday

SALAHUDDIN KETUAI MISI FRANCAIS KE MELBOURNE TARIK POTENSI PELABURAN RM30 JUTA

Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia bersempena Franchising & Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023) berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari negara berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata potensi pelaburan berkenaan adalah termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, serta potensi eksport dari Malaysia ke Australia.

“Penyertaan yang rancak daripada pemain industri francais semasa misi itu berlangsung dijangka akan membawa lebih banyak jenama francais yang mapan dari Australia untuk diperkenalkan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

“Ini akan mengukuhkan hubungan ekonomi di antara dua negara dan Australia adalah di antara 10 negara teratas sebagai rakan global Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Salahuddin mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi sulungnya bagi Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne bersempena FBOE 2023.

Misi perdagangan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan lebih banyak eksport francais ke negara luar.

Delegasi terbabit juga terdiri daripada pegawai daripada KPDN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persatuan Francais Malaysia (MFA) serta lapan jenama francais terkemuka Malaysia iaitu Oldtown White Coffee, Marrybrown, Smart Reader Kids, Q Dees, US Pizza, Laundrybar, CheeseU dan HOME Maths Therapy.

“Misi perdagangan antarabangsa Francais Malaysia ini adalah yang pertama untuk tahun ini. Selain itu, terdapat cadangan beberapa negara lain untuk misi perdagangan seperti Thailand, Indonesia, Türkiye dan India yang akan bermula dari Julai sehingga Oktober depan,” katanya.

Exit mobile version