Rakyat kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara mulai hari ini melalui Program Menu Rahmah.
Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata bagaimanapun, daripada pemerhatian terdapat peniaga yang prihatin dengan mempelbagaikan menu lain seperti mi goreng, kuetiau goreng, rojak, roti John dan shawarma.
“Untuk memudahkan rakyat, kita (KPDN) akan letak satu pelekat atau simbol Menu Rahmah di premis yang terlibat dan apabila mereka nampak menu itu, mereka boleh pergi dapatkan makanan.
“Kita juga akan menguar-uarkan program ini dan saya minta pempengaruh di media sosial membantu kerajaan menyebarluaskan tentangnya supaya seluruh rakyat boleh menikmati menu ini,” katanya selepas melancarkan program menu itu di Pasar Raya Mydin Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini, restoran yang terlibat dalam program itu ialah ahli daripada tujuh persatuan antaranya Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
Pelaksanaan program juga membabitkan ahli Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO) , Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).
Salahuddin berkata program tersebut akan dijalankan secara berterusan selagi ia mendapat kerjasama daripada premis yang bersedia memberikan perkhidmatan.
“Sekiranya mereka (pengusaha premis) tidak boleh mengekalkan (harga menu), mereka boleh beritahu kita (KPDN) supaya perbincangan boleh dibuat dari semasa ke semasa, tapi setakat ini, mereka boleh laksanakan harga menu RM5 yang kita minta.
“Selain itu, saya tidak fikir ada golongan (selain miskin tegar dan golongan memerlukan) yang akan mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Menu Rahmah ini kerana mereka ada pilihan makanan lain.
“Tetapi kalau mereka rasa di tengah bulan sudah kurang duit dalam poket, mereka juga boleh pilih Menu Rahmah kerana saya rasa mereka pun ada selera untuk memilih menu ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan semua pelaksanaan inisiatif ‘Rahmah’ seperti Bakul Rahmah, Pakej Harga Barang Rahmah dan Kafe Rahmah dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada akhir Mac ini.
Katanya, program Bakul Rahmah disasarkan untuk diberi kepada golongan keluarga miskin tegar setiap bulan manakala Pakej Harga Barang Rahmah bakal meliputi 12 barang keperluan asas yang boleh dibeli pada harga ditetapkan.
“Inisiatif Kafe Rahmah pula akan dibuat di universiti tempatan bermula di Kuala Lumpur, merangkumi sarapan pagi dan makan tengah hari percuma sementara makanan malam akan ditawarkan dengan diskaun hingga 50 peratus.
“Ini adalah antara usaha kecil KPDN untuk menyantuni golongan miskin tegar, berpendapatan rendah dan golongan siswa dari keluarga kurang berkemampuan yang belajar di universiti,” katanya.