Kerajaan akan memperkenalkan pakej insurans Rahmah untuk golongan B40 dan miskin tgear pada hujung bulan ini sebagai usaha membantu golongan tersebut mendapatkan penjagaan kesihatan yang sepatutnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif tersebut akan berada di bawah payung Rahmah di bawah usaha Kerajaan Perpaduan membantu rakyat.
Menurut beliau, inisiatif tersebut dapat dijayakan melalui penglibatan pihak-pihak swasta yang turut sama ingin membantu rakyat dalam mendapatkan penjagaan perkhidmatan yang sewajarnya.
“Insurans akan diwujudkan melalui pakej Rahmah, ini semua kita sudah lakukan dengan penuh teliti kerana ada ada pihak yang mempertikaikan adakah program ini boleh kekal atau tidak. Kekuatan kepada inisiatif ini didukung oleh pemain-pemain industri.
“Mereka sanggup untuk membantu walaupun falsafah dalam bentuk ekonomi boleh dibahaskan dengan lebih lanjut dengan rakan saya Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Kementerian Kewangan,” katanya semasa sesi dialog sesi memperkaskan ekonomi rakyat di Dewan Merdeka.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu berkata, ketika ini golongan B40 dan miskin tegar mencampai sebanyak 126,000 di dalam negara, kumpulan tersebut amat memerlukan inisiatif-inisiatif Rahmah.
“Inisiatif yang sudah masuk bulan keenam, sedikit sebanyak membantu dan kesan langsung boleh dilihat melalui statistik diberikan iaitu inflasi harga makanan di luar menurun daripada 9.6 peratus kepada 9.3 peratus.
“Ia pertama kali berlaku sejak Ogos 2021, saya menyusun sepuluh jari. Usaha ini kecil dan kerdil tetapi dengan upaya yang ada kita cuba membantu rakyat dengan pakej-pakej kita tampilkan,” katanya.