Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han membidas Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Dr. Afif Bahardin yang mendakwa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Jalan Othman, Petaling Jaya telah menyaman kenderaan ADN berkenaan atas kesalahan meletakkan kenderaan ditempat yang menghalang lalu lintas. Dalam satu hantaran video di laman sosial terkemuka Tiktok, wakil rakyat yang baharu sahaja memenangi kerusi DUN Taman Medan dengan majoriti tipis sebanyak 30 undi sahaja menyatakan bahawa pada hujung minggu orang awam akan pergi ke pasar dengan kadar yang lebih tinggi daripada hari bekerja, namun ketiadaan tempat letak kenderaan yang mencukupi menyebabkan ramai pengunjung meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
Oleh itu, Ng yang juga merupakan Exco yang menguruskan Hal Ehwal PBT pada penggal lalu, menjawab dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa telah adanya kompleks tempat letak kenderaan yang lebih banyak disebelah pasar yang menjadi tumpuan di Jalan Othman. Sebagai bukti, Ng yang juga ADN Kinrara menyatakan kompleks tersebut menyediakan 169 petak tempat letak kenderaan. Manakala rekod yang dicatatkan oleh kompleks tersebut, hanya 31 buah kereta yang masuk dan 10 buah kereta yang keluar pada hari kejadian ADN Taman Medan itu disaman. Ini menjelaskan bahawa ada ruang yang lebih banyak untuk kenderaan Dr. Afif itu diletakkan dikompleks yang disediakan, namun pihak beliau memilih yang menghalang lalu lintas dan disaman oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Maka Ng menegaskan bahawa tindakan MBPJ adalah semata-mata mahu menjalankan tugas bagi melancarkan aturan dan lalu lintas ditempat yang telah dikuatkuasakan. Ng menasihatkan Dr. Afif agar gunakan ruang yang disediakan di kompleks tempat letak kereka berdekatan Pasar Pagi Jalan Othman. – Selangor Today