
BANGI, 5 Jun 2025 – Bendahari AMANAH Selangor yang juga pengamal undang-undang, Hj Mazwan Johar, tampil memberi penjelasan mengenai isu saman sivil melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjadi tumpuan hangat di media dan masyarakat.
Dalam siaran pertamanya dari studio baharu di Bandar Baru Bangi, Mazwan menjelaskan bahawa kes tersebut merupakan tuntutan sivil yang difailkan oleh seorang individu bernama Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri.
“Kes ini bukan lagi kes jenayah. Kes jenayah sebelum ini tidak berjaya kerana tiada bukti mencukupi. Kini Yusoff Rawther membawa tuntutan secara peribadi melalui saman sivil,” jelas Mazwan.

Menurut beliau, dalam kes sivil, beban bukti adalah sepenuhnya di atas plaintif, iaitu Yusoff Rawther, dan bukan kepada Datuk Seri Anwar. Namun, beliau kesal apabila naratif di media seolah-olah membebankan pihak yang dituduh sebelum plaintif membuktikan kesnya.
“Fokus sepatutnya kepada Yusoff – adakah dia ada bukti kukuh? Tetapi sekarang ini perhatian seolah-olah dialihkan kepada Datuk Seri Anwar untuk menjawab lebih awal. Itu tak kena,” katanya.
Tambahnya lagi, tindakan Perdana Menteri mengemukakan bantahan teknikal adalah sesuatu yang lazim dalam proses perundangan dan bukan perkara luar biasa.
“Bantahan teknikal seperti ini berlaku setiap hari di mahkamah seluruh negara. Ia adalah sebahagian daripada strategi yang dibenarkan oleh undang-undang. Kedua-dua pihak ada peguam masing-masing dan mereka bebas menggunakan hak mereka untuk berhujah,” ujarnya.

Mazwan turut menegaskan bahawa isu ini menjadi besar kerana ia melibatkan tokoh utama negara, namun hakikatnya proses mahkamah wajar dibiarkan berjalan tanpa dipolitikkan.
“Kita perlu beri ruang kepada mahkamah untuk jalankan prosesnya secara adil. Jangan jadikan perkara biasa sebagai luar biasa semata-mata kerana ia melibatkan seorang Perdana Menteri,” katanya mengakhiri siaran sulung tersebut.