SelangorToday

SANDIWARA PAS TAWAN UNDI BUKAN MELAYU

Sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS untuk tahun 2024 ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man telah memberikan tanggungjawab kepada Dewan Pemuda PAS untuk menawan pengundi bukan melayu. Tugasan tersebut diberikan oleh Tuan Ibrahim dalam ucapan beliau ketika merasmikan muktamar sayap kanan parti itu.

Dipercayai tugasan tersebut juga bertitik tolak daripada kesungguhan PAS untuk menawan Negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum akan datang apabila bagi penggal ini, PAS telah pun mempunyai 15 orang wakil di Dewan Undangan Negeri Pahang. Malah PAS memaparkan kesungguhannya untuk mengemudi Kerajaan Negeri Pahang dengan diadakan Muktamar tahunannya di Pahang bagi edisi kali ini. Bagi Ketua Pemuda PAS pula, Afnan Hamim menyeru ahlinya mempelajari bahasa mandarin dan tamil bagi mendekati golongan bukan melayu Islam.


—fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Disini PAS mempunyai kesedaran bahawa jika ingin menguasai kerajaan, PAS perlulah mendapat sokongan kelompok bukan melayu Islam. Setelah hampir sedekad parti Islam yang ditubuhkan zaman kemerdekaan dulu memilih haluan kanan dengan jalur melayu Islam yang keras, kini PAS menyedari semula hakikat akan keperluan mendapat undi bukan melayu Islam. Namun kesedaran PAS itu dianggap sandiwara bagi pemerhati politik. Hal ini demikian kerana, tangan kanan PAS seolah-olah mahu undi bukan melayu, manakala tangan kiri PAS bertindak dengan elemen ketidakselesaan kepada bukan melayu.

Bayangkan sama ada sebelum mahupun sejak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menaiki kerusi pemerintah di Putrajaya, PAS sentiasa menggunakan elemen melayu Islam sebagai alat mereka untuk mengekalkan sokongan. Tambahan lagi, elemen melayu Islam yang ekstrim itu berjaya mencetuskan gelombang hijau baik semasa PRU ke-16 dan PRN tahun lalu. Setelah memilih dengan pelbagai aksi untuk menjarakkan bukan melayu kepada PAS, kini PAS mahu mendekati bukan melayu pula. Adakah kehendak PAS itu untuk dakwah yang meletakkan kaum bukan melayu Islam juga sebagai rakyat atau hanya menggunakan bukan melayu Islam untuk mendapatkan kuasa semata-mata?

PAS hari ini mahukan sokongan pengundi bukan melayu islam tetapi bertindak keras dan tidak melihat kaum bukan melayu dalam konteks rakyat Malaysia apabila sesuatu isu timbul. Satu masa PAS bertindak sebagai pejuang melayu Islam tanpa asas yang jelas. Sebaliknya hari ini PAS memerlukan undi bukan melayu Islam pula untuk memerintah. Sikap tidak profesional PAS inilah yang digambarkan sandiwara PAS terhadap bukan melayu Islam.

Namun sedarkah kita semua, PAS pernah meletakkan sikap keterbukaan dan mendekati pengundi bukan melayu dengan sikap jujur dan penuh tanggungjawab. Semasa PAS mula dipimpin oleh golongan moderat baik dari kalangan agamawan dan profesional sekitar tahun 2005 hingga 2014. Ketika itu PAS mendekati bukan melayu Islam dengan pemerkasaan Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP). Bukan sekadar DHPP sebagai jambatannya, malah tawaran Negara Berkebajikan yang digagaskan ketika itu menjadi pengisian jika PAS diberi kepercayaan memerintah. Ertinya PAS mempunyai jambatan dan arah tuju yang bakal dibawa apabila bersama bukan melayu Islam.

Jauh sekali dengan apa yang ada pada hari ini, PAS hanya mahu mendampingi kelompok bukan melayu Islam dengan slogan dan retorik semata-mata, tetapi apakah tawaran dan pendekatan yang bakal dibawa oleh PAS kepada bukan melayu Islam jika memerintah kelak? PAS tidak boleh mengambil contoj negeri yang PAS tadbir sekarang ini memandangkan Negeri Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah mempunyai populasi bukan melayu Islam yang rendah. PAS juga tidak boleh menjaja khidmat mereka ketika PAS memerintah Selangor mahupun Perak ketika PAS bersama Pakatan Rakyat kerana ketika itu PAS dipelopori oleh penggerak PAS yang moderat. Kini mereka antara yang memimpin Parti AMANAH mahupun bersara dari politik.

Oleh itu, PAS perlu menyedari hakikat bahawa sandiwaranya kepada kelompok bukan melayu Islam jelas dihidu oleh rakyat Malaysia. Usaha PAS ini juga membuktikan bahawa DHPP yang ada dalam PAS hari ini serta rakan sekutunya Parti Gerakan Rakyat Malaysia(GERAKAN) gagal memainkan peranannya membantu PAS. PAS tidak mampu menembusi sokongan pengundi bukan melayu Islam jika kekal dengan pendirian, kepimpinan dan naratif partinya hari ini. Manakala Pahang akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan pada penggal akan datang.

Exit mobile version