SelangorToday

SANY HAMZAN DILANTIK PANGLIMA PERANG AMANAH, IR.IZHAM KEKAL BENDAHARI AGUNG

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi Parti AMANAH Negara sesi 2023 hingga 2026. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma AMANAH selepas mesyuarat penuh pertama 27 ahli jawatankuasa pimpinan AMANAH yang dipilih oleh perwakilan dalam Konvensyen AMANAH 2023 itu memaklumkan bahawa bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu akan mengetuai Jabatan Pilihan Raya AMANAH. Selain Sany, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir.Izham Hashim kekal memegang jawatan sebagai Bendahari Agung yang beliau pikul sejak pertengahan penggal lalu. Beliau yang juga sebelum ini mengetuai AMANAH Selangor berjaya mengekalkan kerusi DUN Pandan Indah dalam PRN Selangor 2023 lalu dengan majoriti besar.

Bagi dua kerusi Naib Presiden lantikan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang(LPP), Mahfuz Hj Omar sekali lagi diberikan peranan tersebut selain ahli Dewan Negara, Dr. Hatta Mohd Ramli yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung AMANAH. Bagi jawatan Setiauasah Agung AMANAH pula akan disandang oleh anak bekas Presiden PAS(Almarhum Ustaz Fadzil Noor) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM), Faiz Fadzil Noor. Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM), Ahmad Sabki Yusof dipilih sebagai Pengarah Strategik AMANAH yang baharu menggantikan Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH pula dipertanggungjawabkan kepada Pengerusi Yayasan AMANAH juga mantan Ahli Parlimen Tampin, Prof.Datuk Dr. Hasan bin Bahrom. Pengumuman lantikan baharu jawatankuasa pimpinan AMANAH ini belum lengkap memandangkan AMANAH mahu menerima pencalonan daripada semua ketua AMANAH Kawasan bagi meletakkan seorang Pengerusi Negeri masing-masing. Dalam masa yang sama, jawatankuasa lantikan dan senarai biro-biro dalam Jawatankuasa pimpinan AMANAH mungkin akan diumumkan dalam mesyuarat JKP AMANAH yang akan datang. – SelangorToday

Exit mobile version