 
                KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan para menteri agar memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat, bukan sekadar rancangan di atas kertas.
Membahaskan usul RMK13 di Dewan Rakyat, Sany menegaskan sehingga kini tiada pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan disabitkan kesalahan rasuah atau penyelewengan wang rakyat, yang menurutnya membuktikan integriti dan tata kelola dapat diamalkan dalam pentadbiran semasa.

“Kita mahu RMK13 ini dirasai oleh semua rakyat di seluruh negara. Jangan sampai ia gagal menyentuh kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, setiap premis kediaman diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang, bukan hanya di agensi kerajaan, sekolah atau premis perniagaan.

“Tidak kira tinggal di kampung, rumah teres, rumah bertingkat, rumah panjang, banglo atau istana, kita semua wajib menaikkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Cadangan itu diselaraskan dengan tema sambutan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, yang menurutnya wajar diterjemahkan dalam tindakan nyata memupuk perpaduan nasional.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            