
Hulu Langat, 13 Jun 2025 — Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Sany Hamzan hari ini telah menyerahkan dua dokumen cadangan penting kepada Perdana Menteri bagi tujuan menaik taraf infrastruktur jalan raya di kawasan Hulu Langat.
Dalam satu kenyataan, Sany memaklumkan cadangan tersebut melibatkan projek menaik taraf jalan dari Petron Batu 10 ke Pekan Batu 14, pembinaan sebuah jejambat (flyover) di Pekan Batu 14 serta penaiktarafan jalan dari Sungai Sup ke kuari Sungai Long di kawasan Sungai Serai.
“Ini adalah salah satu usaha kita untuk menyuraikan trafik yang sering berlaku terutama pada hujung minggu di sekitar Pekan Batu 14,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan semakin membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat.
“Justeru, saya mengharapkan sokongan dan dokongan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, termasuk dari segi bajet, bagi meluluskan segera peruntukan untuk projek-projek ini,” tambahnya.
Sany turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kerajaan MADANI dan semua pihak yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat di Hulu Langat.
Projek-projek tersebut dijangka akan memberi impak besar terhadap kelancaran aliran trafik serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.