SelangorToday

SANY HAMZAN SERU ORANG RAMAI LAKUKAN SARINGAN KESIHATAN

Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer perlu memanfaatkan program Selangor Saring sebagai langkah mengelak diserang penyakit kronik. Ahli Dewan Negerinya (ADN) Mohd Sany Hamzan berkata inisiatif percuma oleh Kerajaan Negeri itu tidak harus disia-siakan kerana ia memberi peluang kepada orang ramai mengetahui status kesihatan mereka.

“Amat penting bagi orang ramai melakukan saringan ini supaya mereka boleh dapat gambaran jelas soal kesihatan masing-masing. Mungkin selama ini mereka berasakan tiada masalah kesihatan, tetapi dengan saringan ini mereka boleh tahu. Apabila umur semakin meningkat, macam-macam penyakit boleh datang seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis. Setidak-tidaknya mereka boleh berjaga-jaga dengan mengubah gaya hidup dan mengawal pemakanan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan program Selangor Saring peringkat DUN Taman Templer dijadual berlangsung pada 17 Julai, namun lokasi akan ditentukan kemudian. Penduduk juga diminta mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan portal selangorsaring.selangkah.my.

“Hebahan program dibuat dalam pelbagai saluran antaranya melalui ahli majlis dan ketua kampung termasuk kumpulan WhatsApp penduduk selain meletakkan gegantung di kawasan tertentu,” katanya.

Exit mobile version