Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan semalam telah membuat kunjungan ke kediaman rasmi Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk menyampaikan beberapa isu kritikal yang berlaku di Hulu Langat.
Melalui posting yang dimuat naik melalui laman sosial Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional itu, kunjungan itu diadakan bagi membincangkan tiga isu kritikal yang melanda Hulu Langat serta perlu mendapatkan perhatian dan langkah segera oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan risiko kepada masyarakat.
Antara isu yang dibincangkan ialah pembinaan flyover keluar dari Prima Saujana, Kajang. Jelas Sany, langkah tersebut penting bagi mengatasi masalah kesesakan trafik dan meningkatkan kelancaran pergerakan penduduk.
Kedua, pembangunan masjid baharu di Kampung Sungai Serai. Pembinaan masjid baharu ini diyakini mampu memenuhi keperluan komuniti setempat dan menyediakan ruang ibadah yang selesa bagi penduduk kampung.
Akhir sekali, berkaitan notis perobohan rumah penduduk di Kampung Padang, Hulu Langat. Sany mengharapkan kerajaan negeri dapat menawarkan kaedah penyelesaian yang lebih baik antara penduduk dan pihak berkuasa memandangkan lokasinya terletak di rizab tanah Jabatan Kerja Raya(JKR).
Walau bagaimanapun, Sany memaklumkan Dato Menteri Besar menzahirkan komitmen tinggi dalam memastikan setiap isu diselesaikan dengan adil dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat di Hulu Langat. – SelangorToday