KUALA LUMPUR, 3 Nov — Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Haji Mohd Sany Hamzan, menzahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap tindakan Ahli Parlimen Pendang yang didakwa menghina daerah Hulu Langat dengan menggunakan perkataan “Hulu Laknat” ketika sesi penggulungan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada 30 Oktober lalu.
Menurut Sany, perkataan tersebut jelas berunsur penghinaan serta secara langsung merujuk kepada Daerah Hulu Langat, nama rasmi yang telah diperkenankan penggunaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.
“Tindakan YB Pendang ini bukan sahaja mencemar nama baik Hulu Langat dan rakyatnya, malah turut dianggap menghina Naungan dan Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Ia amat tidak wajar, tidak beradab, dan bertentangan dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan seorang Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Parlimen seharusnya menjadi medan berhujah dengan hikmah dan adab, bukan tempat melontarkan kata-kata yang menghina mana-mana daerah atau institusi diraja.
Sany turut memaklumkan bahawa beliau telah menghantar satu usul rasmi kepada Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membolehkan perkara tersebut disiasat segera.
“Dalam usul tersebut, saya mencadangkan agar Ahli Parlimen Pendang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut, selaras dengan Peraturan 36(10)(a) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” jelasnya.
Beliau menyeru agar pihak Parlimen Malaysia dan Tuan Speaker mengambil perhatian serius terhadap perkara ini demi menjaga kehormatan Dewan Rakyat serta memastikan semua Ahli Parlimen mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan.
Sany turut mengingatkan semua Ahli Parlimen agar sentiasa menjaga tutur kata dan menghormati sensitiviti daerah, negeri, serta institusi diraja, demi memelihara kemuliaan Parlimen dan perpaduan rakyat Malaysia di bawah Naungan DYMM Sultan Selangor serta Raja-Raja Melayu seluruhnya.