
Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Haji Mohd Sany Hamzan hari ini memaklumkan bahawa tiga buah sekolah baharu akan dibina di kawasan Hulu Langat sebagai langkah menangani isu kesesakan murid yang telah lama dibangkitkan penduduk setempat.
Menurut YB Sany, kelulusan ini dikira merupakan hasil daripada desakan dan permintaan yang beliau bawa ke Parlimen, dan akhirnya mendapat maklum balas positif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Rolling Plan 5 Tahun 2025.
“Alhamdulillah, ini satu kemenangan besar untuk rakyat Hulu Langat. Masalah kesesakan sekolah yang sekian lama membebani pelajar dan guru akhirnya diberi perhatian serius oleh kerajaan. Terima kasih kepada KPM dan Perdana Menteri atas keprihatinan ini,” katanya.
Tiga projek sekolah yang akan dibangunkan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat adalah:
- SK Bandar Mahkota Cheras – 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut piawai.
- SK Alam Sari – 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut piawai.
- SMK Bandar Seri Putra (2) – 42 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut piawai.
Pembinaan sekolah-sekolah baharu ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan pentingnya penyediaan kemudahan pendidikan yang mencukupi dan kondusif untuk mengelakkan kepadatan murid, seiring dasar reformasi pendidikan negara.
YB Sany turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberi sokongan dalam memperjuangkan isu pendidikan di kawasan Hulu Langat dan bertekad untuk memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar demi masa depan anak-anak di kawasan tersebut.