SelangorToday

SATU KELUARGA SATU GRADUAN TVET MENUJU MALAYSIA MADANI

Sambutan Hari Pekerja bakal diadakan pada 1 Mei ini dengan dua perkara yang menjadi perhatian awam. Pertama sambutan ini menyaksikan menteri yang baharu diletakkan di Kementerian Sumber Manusia(KESUMA) iaitu Steven Sim memendangkan  setelah beberapa dekad kementerian ini tidak dipimpin oleh ahli politik kaum cina(baca:MCA), kini KESUMA dipertanggungjawabkan kepada pimpinan DAP dari kaum tersebut.

Kedua seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Aidilftri yang lalu, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam oleh kerajaan akan diumumkan semasa sambutan Hari Pekerja tahun ini. Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN itu mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini.

Keterujaan itu semakin dinantikan apabila sebelum ini penjawat awam telah menerima RM2000 sebagai  Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan RM500 sebagai bonus Hari Raya Aidilfitri. Tidak dilupakan pekerja swasta juga apabila Anwar menggesa majikan untuk memberikan insentif bagi meringankan beban kewangan pekerja mereka. Tekad Kerajaan MADANI sangat jelas dan penuh strategik dalam memastikan semua langkah tersebut dijayakan.

Malah Steven yang belum pun genap setahun mengemudi KESUMA berjaya menterjemahkan nilai ihsan dan prihatinnya kepada warga pekerja yang menjadi nadi kemajuan bangsa. Hampir setiap hari, ada sahaja kenyataan yang dikeluarkan sama ada berbentuk arahan baharu, penjelasan yang merungkai masalah serta maklum balas terhadap situasi yang menimpa warga pekerja.

Namun kesemua tekad yang sedang diusahakan ini merupakan langkah untuk meletakkan semula taraf pekerja di Malaysia pada tahap yang bermaruah. Sebaliknya, pekerja yang bagaimanakah yang ingin kita lahirkan pada masa depan bagi mempercepat dan menjayakan Malaysia MADANI itu.

Penulis melihat hari ini Malaysia harus melihat kepada keperluan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional sebagai salah satu cabang pembentukan generasi Malaysia akan datang. Ini disebabkan oleh Malaysia sedang berada dipersimpangan yang celaru antara pelbagai sistem pendidikan dan latihan. Belum lagi melihatkan kepada keperluan kerja yang tidak selari dengan kelahiran graduan-graduan IPT.

Impak perubahan iklim, geo-politik dunia dan dasar negara luar kepada Malaysia sungguh mengesankan. Kita kerap kali bergantung kepada keupayaan negara luar sehingga ia merencatkan perjalanan harian kita jika diambil contoh tentang kekurangan bekalan beras dalam pasaran satu ketika dahulu. Maka sepatutnya kerajaan melihat TVET sebagai salah satu platform utama bagi mengatasi kebergantungan kita kepada negara luar.

TVET yang sebelum ini dikategorikan sebagai bidang latihan yang kotor, keras dan bahaya perlu dijenamakan semula memandangkan elemen pendigitalan dan industri Kecerdasan Buatan juga telah meledak masuk ke dalam ekonomi dunia. Seharusnya TVET perlu diiktiraf sebagai latihan nasional yang diwajibkan kepada setiap keluarga di Malaysia. Tindakan yang berani dan drastik ini mampu menjadikan TVET benar-benar diarusperdanakan.

Lebih mustahak lagi pendidikan berbentuk kemahiran teknikal dan luar lingkungan bilik kuliah lebih didambakan dalam pasaran kerja berbanding pendidikan berfokuskan teori dan daya fikir. Setiap industri yang dicipta mahupun yang ingin dicapai selepas ini memerlukan sumber manusia yang mahir ilmu teknikal lebih ramai berbanding sumber manusia sebagai pemimpin, pemikir dan pengurus industri. Maka sewajarnya jika pendidikan negara diwajibkan kepada semua, boleh dimulakan dengan seorang dalam satu keluarga wajib menceburi bidang TVET.

Aspek pengimejan pendidkan TVET ini sangat ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau begitu komited dalam mengarus-perdanakan TVET sebagai agen yang mengeluarkan masyarakat desa di lembah kemiskinan. Namun sebenarnya, TVET bukanlah hanya untuk orang kampung atau keluarga miskin. Ia untuk semua rakyat. Bagi melebarkan pengaruh TVET kepada keluarga B40, kerajaan boleh mempertimbangkan kemudahan berbentuk pelepasan cukai kepada isi rumah yang mempunyai anak yang menyertai latihan TVET. Pelapasan akan diberikan kepada isi rumah dalam tempoh anak tersebut berada dalam pengajian TVET pada kadar tertentu dengan jumlah maksimum 3 orang anak.

Di pihak generasi hari ini pula, keputusan untuk menyertai TVET dianggap satu keputusan yang sukar dan ditolak mentah-mentah memandangkan generasi hari ini tidak mahu berubah pada keadaan lain, takut mengambil risiko serta faktor kewangan. Bidang TVET sangat jauh dari pelajar arus perdana apabila ia tidak didedahkan lebih awal kepada mereka melainkan setelah mereka masuk ke tingkatan 4 dan juga tempat latihan TVET yang berjauhan.

Melalui Kementerian Belia dan Sukan, institusi latihan TVET wajar ditambah semampu yang boleh bagi memastikan TVET juga dianggap sebagai salah satu sistem arus perdana. Tekad Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerlah apabila mulai tahun 2025, Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) Dusun Tua akan mengambil 200 pelatih perinstis bagi jurusan Kereta Elektrik buat pertama kalinya.  Dengan usaha yang pertama itu, KBS perlu melangkah dengan penuh yakin menambah bilangan institut di seluruh negara serta melaksanakan promosi besar-besaran bagi mempengaruhi pelajar arus perdana.

Bagi Kementerian Pendidikan pula, mahu tidak mahu negara perlu akui bahawa daripada pelajar 15 kelas yang wujud dalam satu tingkatan sebuah sekolah, hanya pelajar  5 kelas sahaja yang mampu, minat dan berupaya mengikuti kurikulum di sekolah kebangsaan. Selebihnya menanti tamat persekolahan dan menjadi manusia yang tunggu dan lihat sahaja apa yang akan terjadi pada hidup mereka. Ini merupakan satu pembaziran paling besar memandangkan buku teks pinjaman, kemudahan sekolah, dan banyak kos lain diperuntukkan bagi menanggung mereka di sekolah kebangsaan, sedangkan mereka tak minat dan tak akan mencapai apa-apa sepanjang di sekolah itu.

Maka sewajarnya dalam penambahbaikan kurikulum 2027 kelak, KPM bakal meletakkan elemen TVET seawal sekolah rendah lagi, apabila mereka masuk ke sekolah menengah institusi latihan TVET dibawah KPM perlu bersedia menerima mereka. Kita beranggapan sekolah rendah mampu membentuk keperibadian, kecenderungan dan keseronokan alam kanak-kanak, manakala apabila masuk ke sekolah menengah, kelebihan mahupun kecenderungan mereka digilap oleh para pendidik tanpa meminggirkan aspek kenegaraan, jati diri, kemahiran berbahasa dan kepimpinan.

Kesedaran masyarakat bahawa latihan TVET sama pentingnya dengan pendidikan arus perdana perlu dibentuk secara besar-besaran. Tokoh-tokoh lepas TVET yang telah berjaya wajar diketengahkan oleh kerajaan sebagai ikon negara.

Akhirnya faktor kewangan atau kos pengajian latihan TVET menjadi faktor utama kesediaan masyarakat.  Disini fungsi atau peranan pihak swasta dan industri bagi membantu kerajaan melandaikan kos pengajian tersebut. Sama ada dalam bentuk bantuan mahupun kerjasama antara institut dan pihak swasta adalah sangat perlu memandangkan pihak swasta serta industri memerlukan sumber manusia yang berpendidikan TVET dalam pasaran kerja kelak.

Apa-apa pun, generasi pekerja yang bakal atau mahu dilahirkan era Malaysia MADANI ini mesti mengekalkan ramuannya yang punyai nilai ihsan, mampan, daya fikir, sejahtera, hormat dan yakin walau apa bidang yang diceburi. Pekerja masa depan bergantung kepada ketersediaan dan arah tuju pendidikan hari ini.

Selamat Hari Pekerja.

Exit mobile version