HULU LANGAT, 25 Nov — Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menepis dakwaan bahawa beliau tidak berada di kawasan ketika banjir melanda, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat.
Menurut Sany, dakwaan kononnya beliau berkaraoke semasa kawasannya dilanda banjir adalah fitnah semata-mata. Beliau menjelaskan bahawa beliau hanya menyanyi atas permintaan pengundi ketika menghadiri sebuah program di kawasan tersebu sebelum kejadian banjir.
“Saya nyanyi 22 hari bulan, banjir 24. Saya diminta menyanyi oleh pengundi sebab mereka kata suara saya sedap. Saya nyanyi depan pengundi, bukan saya karaoke dengan anak dara orang,” tegasnya.
Sany turut menolak cubaan mengaitkan aktivitinya itu dengan kelewatan turun padang membantu mangsa banjir, sebaliknya menegaskan beliau segera pulang ke kawasan sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Pukul dua atau tiga pagi saya tetap turun ke kawasan. Tak macam ada seorang menteri besar dulu di Pantai Timur, negeri dia banjir tapi dia boleh pergi bercuti,” katanya.
Beliau berkata, sebaik mengetahui bencana berlaku, beliau mengambil penerbangan awal pagi untuk kembali ke Hulu Langat sebelum ke Parlimen sebentar dan kemudian turun ke lokasi terjejas sehingga lewat malam.
“Saya balik ke kawasan sehingga jam sebelas malam. Malam tadi saya masih berada di Hulu Langat membantu mangsa,” jelasnya.
Sany turut memaklumkan bahawa pada pagi ini, seawal jam 7 pagi, beliau telah melawat Sekolah Menengah Kementerian Abdul Jalil bagi memberikan sokongan kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus berada bersama rakyat Hulu Langat, terutama ketika saat-saat genting seperti bencana banjir.