 
                MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan jelas bahawa beliau akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya lebih dua dekad, apabila menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat kepada parti selagi hayat dikandung badan.
Dalam satu kenyataan selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini, Abdul Hadi, 77, menegaskan beliau masih sihat dan tidak berhasrat berundur daripada kepimpinan parti menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang dijadual berlangsung di Kedah, September ini.
“Saya kalau boleh nak mati dalam bertugas. Saya sihat… Alhamdulillah, masih sihat,” ujar beliau kepada pemberita, sekali gus menjawab sebarang spekulasi berhubung kedudukan beliau dalam parti.

Ahli Parlimen Marang itu baru-baru ini menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada pertengahan Jun, namun menegaskan keadaan kesihatannya kini berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengulas mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan jawatan itu akan dibincangkan bersama parti-parti gabungan dalam PN, dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh PAS.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai desakan untuk menukar kepimpinan PN, namun perkara itu telah dinafikan oleh Muhyiddin sendiri.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            