KUALA LUMPUR — Bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Nakhaie Hj Ahmad, mendedahkan punca beliau meninggalkan PAS pada era 1980-an, dengan menjelaskan bahawa krisis keyakinan terhadap pendekatan politik parti itu menjadi faktor utama. Penjelasan tersebut dinyatakan dalam Forum “Islam dan Kesederhanaan dalam Menangani Ekstremisme” anjuran Akademi Nadwah Ulama Nadhan Jadidan (NUNJI) yang berlangsung di Batu Muda, Kuala Lumpur.
Nakhaie berkata beliau bergelut dengan kegelisahan dan keraguan ketika masih dalam PAS, sehingga merasakan pendekatan dakwah dan politik parti ketika itu tidak mampu membawa kepada pelaksanaan Islam secara menyeluruh.
“Saya tak yakin apa yang kita kehendaki boleh dicapai dengan cara macam tu. Dua belas tahun duduk dalam (PAS) asyik kritik orang, kita sendiri macam mana?” katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut dalam forum berkenaan.
Menurutnya, PAS pada waktu itu terlalu menumpukan idea bahawa Islam hanya boleh dilaksanakan apabila parti menjadi pemerintah. Sedangkan menurut beliau, Islam boleh ditegakkan oleh individu dan jemaah juga.
Pengalaman Rohani dan Muhasabah Pemikiran
Dalam forum yang sama, bekas Yang Dipertua YADIM itu turut berkongsi bagaimana pengalaman peribadi, termasuk mimpi tentang azab Allah, menjadi titik perubahan kepada pemikirannya.
“Semua yang kita doa pun tak jadi… jadi saya cuba ubah pemikiran,” katanya.
Beliau berkata, daripada situ, beliau mula memperkenalkan konsep fahaman muadhasin yang menekankan tanggungjawab individu, pendekatan aman dan penolakan sikap ekstrem dalam perjuangan politik.
Nakhaie secara tegas menolak budaya mengkafirkan orang lain.
“Janganlah sampai kafirkan orang. Orang Islam pun ada yang zalim… kita patut turun kepada menentang kezaliman, bukan kafirkan orang.”

Seruan Mendengar Sebelum Menghukum
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa budaya menyerang sebelum memahami sering berlaku dalam politik agama.
“Kita menyerang sebelum mendengar. Kita dengar dulu apa Islam tu sebelum menyerang.”
Beliau turut menubuhkan satu kelompok pemikiran bagi melawan kezaliman serta menggalakkan pemikiran tasawuf dan pembersihan jiwa, namun mengakui usaha pembaharuan ini tidak mudah dalam suasana parti pada waktu itu.
Arah Pendidikan Tanpa Politik Kepartian
Nakhaie juga mendedahkan bahawa pada zamannya beliau menasihatkan para pendidik PASTI supaya tidak memasukkan politik kepartian dalam pendidikan awal kepada kanak-kanak, kerana politik sentiasa berubah sedangkan asas agama perlu dibina terlebih dahulu.
“Jangan cerita pasal politik pada anak-anak… politik akan berubah. Yang penting asasnya dulu.”
Beliau menambah bahawa cubaan membawa pembaharuan melalui penerbitan Harakah juga berdepan tentangan.
“Islam akan berkembang jika kita laksanakan apa yang kita kata”
Mengakhiri perkongsiannya, Nakhaie menekankan bahawa pembangunan masyarakat Islam bergantung kepada amalan sebenar umat Islam, bukan slogan politik.
“Kalau kita betul-betul melaksanakan apa yang kita kata tentang Islam… Islam akan berkembang.”