Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan larangan aktivis politik memegang tauliah mengajar agama di Selangor bagi mengelak penyebaran propaganda politik berunsur fitnah dan kebencian yang membawa perpecahan umat Islam. Tambah beliau lagi, larangan itu juga untuk menghalang medan dakwah disalah guna dan pengajaran agama sebagai gelanggang politik.
Kata beliau, ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i. Beliau turut menasihatkan umat Islam memahami maksud dan tujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak perkenan tauliah mengajar agaam diberikan kepada aktivis politik. Larangan itu bukan hanya termaktub kepada mereka yang berjawatan dalam parti sahaja malah ia merangkumi aktiviti yang secara jelas mempengaruhi masyarakat untuk menyokong pihak tertentu.
Mengulas penarikan tauliah terhadap penceramah bebas terkemuka, Dusuki Abdul Rani, Abdul Aziz menyelar kenyataan tersebut dan menyatakan ia jelas tergolong dalam aktivis politik hasil siasatan dan pengesahan tapisan keselamatan polis. MAIS menegaskan kenyataan itu mempunyai unsur fitnah tanpa memahami maksud serta hikmah larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama di Selangor. – SelangorToday