SelangorToday

SEKRETARIAT KERAJAAN PERPADUAN : MUDA SAMBUT BAIK PELAWAAN PM10

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada parti itu untuk menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, belum ada sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara terbabit.

“Saya ambil jawapan Datuk Seri Anwar secara positif, akan ada perbincangan dan kita cuba selesaikan dan uruskan sebaik mungkin, khususnya bagi memastikan rakyat diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden MUDA

Anwar sebelum ini berkata, MUDA dan parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan dijemput menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan dalam mesyuarat pertama sekretariat itu pada 7 Februari lalu.

Ia selepas MUDA dilaporkan menyuarakan rasa terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat itu.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu tidak menerima sebarang jemputan termasuk melalui surat, mesej atau e-mel.

Pada mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Plilhan Raya Negeri.

Dua lagi ialah Jawatankuasa Strategi serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Exit mobile version