 
                SHAH ALAM, 22 Sept – Penganjuran Selangor Agrofest 2025 bakal menyaksikan pendekatan baharu apabila memberi penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian, berbeza dengan penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim, berkata perkembangan pesat teknologi selepas pandemik COVID-19 menjadikan agrofest kali ini sebagai pentas utama memperlihatkan transformasi sektor pertanian negeri.
“Kalau dulu fokus lebih kepada hasil dan produk, kali ini kita mahu tonjolkan bagaimana teknologi mengubah landskap pertanian Selangor. Dengan AI, aplikasi mudah alih dan penggunaan jentera moden, banyak urusan pertanian boleh dibuat hanya melalui telefon bimbit,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, sejak pelaksanaan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) pada 2018, kerajaan negeri menekankan keperluan pertanian bernilai tinggi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang semakin terhad akibat persaingan pembangunan perumahan dan industri.
“Selangor ini tanahnya mahal dan tidak banyak. Kalau pertanian tidak beri pulangan tinggi, kita akan kehilangan tanah itu. Sebab itu dasar kita ialah pertanian moden dan bernilai tinggi,” jelasnya.

Antara teknologi yang akan diketengahkan di Selangor Agrofest 2025 termasuk penggunaan drone, Internet of Things (IoT), sistem hidroponik, aquaponik serta fertigasi, yang kini sinonim dengan amalan pertanian moden di negeri ini.
Selain itu, penganjuran kali ini turut menampilkan satu kelainan dengan pelaksanaan Anugerah Ikon Agro Selangor secara berskala lebih besar, yang akan diadakan setiap dua tahun sekali bagi mengiktiraf agropreneur muda dan wanita yang berjaya.
“Kita mahu mereka ini menjadi inspirasi. Ramai anak muda dan wanita sudah membuktikan kejayaan mereka dalam pertanian moden. Di sini kita akan tonjolkan kisah kejayaan mereka,” kata Izham.
Beliau menegaskan, Selangor Agrofest 2025 bukan sekadar pameran hasil tani, tetapi platform untuk mempamerkan bagaimana teknologi mampu menjadikan pertanian lebih efisien, berdaya saing dan menjamin kelestarian tanah pertanian negeri.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            