SelangorToday

SELANGOR ANTARA NEGERI TERBAIK URUS KADAR AIR TIDAK TERHASIL – NIK NAZMI

Selangor antara dua negeri terbaik menguruskan kadar air tidak terhasil (NRW), kata menteri sumber asli.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selain Selangor, negeri lain yang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pengurusan NRW adalah Johor.

“Selangor dan Johor adalah negeri terbaik menguruskan NRW dan sebab itu kita beri geran padanan berjumlah RM110 juta yang mana ditambah dengan perbelanjaan negeri.

“Selangor menunjukkan prestasi baik tetapi ia perlu bergerak seiring dengan pembinaan loji rawatan air (LRA), tidak hanya memfokuskan NRW semata-mata,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memuji langkah Kerajaan Selangor dengan membina LRA Sungai Rasau di bawah Skim Bekalan Air Rasau dalam memastikan kelestarian bekalan air yang bersih dan selamat.

“Langkah dibuat Kerajaan Negeri sangat proaktif kerana isu rizab air di Selangor perlu dipertingkat dengan mempelbagaikan sumber air.

“Kalau bergantung dengan satu dua sumber dan jika ada gangguan bekalan, banyak terjejas. Dengan projek ini, ia dapat tingkatkan rizab dan pelbagai sumber bekalan air khusus di Klang,”katanya lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nik Nazmi menjelaskan Kerajaan Persekutuan bercadang menyemak semula tarif air agar pulangan modal setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan.

“Kami sedia maklum bahawa terdapat negeri-negeri yang masih menggunakan tarif yang lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan kementerian.

“Pada masa yang sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak membebankan golongan kurang berkemampuan,”katanya.

Exit mobile version