Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif dalam menangani isu penggunaan rokok elektronik (vape) yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda, dengan mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk menyita sebarang bentuk iklan berkaitan produk vape berkuat kuasa serta-merta.
Langkah tersebut diumumkan selepas satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan pengharaman penjualan vape di Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, YB Puan Jamaliah Jamaluddin.
Menurut Jamaliah, mesyuarat tersebut turut disertai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), wakil-wakil PBT serta pegawai-pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Mesyuarat ini telah meneliti secara menyeluruh pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan, serta pemantauan jualan dalam talian yang kian sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Statistik Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menunjukkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia merupakan pengguna vape, satu angka yang amat membimbangkan pihak kerajaan negeri.
“Peratusan ini bukan sahaja tinggi, malah memberi isyarat jelas bahawa tindakan segera dan tegas perlu diambil bagi mengekang tren peningkatan ini sebelum ia menjadi lebih parah,” ujar Jamaliah.

Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah mengarahkan semua PBT untuk merampas dan menyita sebarang bentuk iklan produk vape di mana-mana medium pengiklanan, termasuk papan iklan fizikal mahupun digital. Arahan ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang secara tegas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk rokok elektronik.
Jamaliah memaklumkan bahawa satu mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperhalusi beberapa pilihan dasar sebelum cadangan akhir dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan.
Tambahnya, sebarang keputusan yang bakal diambil akan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan penglibatan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi-agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan tindakan ini benar-benar berkesan dan mampan,” katanya.
Langkah Selangor ini dilihat sebagai antara pendekatan awal yang tegas di peringkat negeri dalam membendung gelombang penggunaan vape yang dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan dan ketagihan nikotin dalam kalangan belia.