Kerajaan Negeri Selangor bakal menguatkuasakan hukuman berat kepada sindiket sampah haram menjelang hujung tahun ini setelah kerajaan negeri menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Jelas Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim berkata proses penandatangani akta yang digubal dan diwartakan di peringkat persekutuan pada 2007 itu sedang berjalan dan KDEB Waste Management (KDEBWM) mewakili kerajaan negeri.
Tambah Ahli Dewan Negeri(ADN) Sekinchan itu, pengunaan akta ini akan memberi hukuman lebih ketat kepada sindiket sampah haram iaitu denda RM100,000 dan penjara lima tahun berbanding ketika ini menggunakan undang-undang kecil dibawah pihak berkuasa tempatan denda hanya RM1,000. Beliau berkata demikian selepas meninjau program operasi terjah tapak sampah haram dalam kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Bandar Mahkota Cheras di sini.
Akta 672 bermatlamat memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Tambah Suee Lim yang juga pimpinan DAP Selangor itu, kadar denda mungkin perlu disemak dari semasa ke semasa oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar kadar yang dikenakan memberi impak kepada pengurangan sindiket sampah haram. – SelangorToday