Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor akan ditubuh tahun depan bagi mencipta bidang latihan baharu bersesuaian kehendak pasaran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa khas itu mengumpulkan majikan dan institusi bagi membuat unjuran pekerjaan diperlukan berdasarkan sektor pelaburan yang dalam proses kelulusan.
Selain itu, katanya majlis terbabit berfungsi meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi peluang kepada rakyat negeri ini memanfaatkan peluang pekerjaan sedia ada termasuk yang bakal diwujudkan.
“Sebagai contoh (bidang) pengaturcaraan. Bidang ini sangat popular dan diperlukan (pasaran), tetapi ada sebahagian latihan untuk pengaturcara di kampus tidak ‘update’ dan teknologi baharu.
“Apabila mereka (pelajar) tamat belajar, mereka kena ambil pula latihan profesional untuk menjadi seorang pengaturcara yang bagus. Jadi ini antara perkara asas kita kena buat segera tahun depan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) serta Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini.
Dalam pada itu, Amirudin melihat keperluan untuk mewujudkan dasar bagi menggalakkan pelajar sekolah mengambil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kurikulum tambahan.
“Kita kena buat cadangan dasar bagaimana keterlibatan anak-anak di sekolah supaya bidang TVET boleh dijadikan kurikulum tambahan, sama ada dasar di peringkat kementerian (KPM) atau pekeliling jabatan pendidikan.
“Melalui platform itu, ia (TVET) masih boleh dikembang dan diperkasakan sejajar penubuhan jawatankuasa yang akan kita wujudkan,” katanya lagi. – SelangorKini