[DN Selangor], – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen kukuh untuk memperkasa Ekonomi Penjagaan melalui pelbagai inisiatif berskala negeri bagi memastikan kesejahteraan warga emas serta penjaga tidak formal terus terjamin.
Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor, YB Anfaal Saari, ketika menjawab pertanyaan di Dewan Negeri Selangor hari ini berkata, usaha pembangunan dasar ini bukan sahaja menumpukan kebajikan warga emas tetapi juga bertujuan mewujudkan ekosistem penjagaan yang mampan dan berkesan untuk jangka panjang.
Menurut Anfaal yang juga Timbalan Ketua AWAN Nasional, kerajaan negeri telah melaksanakan Kajian Warga Emas Selangor serta Round Table Discussion (RTD) Iltizam Emas Selangor sebagai asas merangka hala tuju strategik Ekonomi Penjagaan.
Beliau menegaskan tiga fokus utama akan membentuk pelan jangka panjang negeri:
Model Kewangan Penjagaan Mampan
Kerajaan negeri sedang membangunkan model kewangan pelbagai sumber melibatkan kerajaan, sektor swasta, komuniti dan filantropi, bagi memastikan ekosistem penjagaan usia emas dapat berfungsi secara berterusan dan inklusif.
Sokongan Penuaan Setempat
Selangor memberi tumpuan kepada usaha memastikan warga emas boleh terus tinggal di komuniti sendiri dengan selamat dan selesa melalui pengukuhan sokongan sosial di peringkat komuniti dan negeri.
Silver Workforce
Bagi mengoptimumkan sumbangan warga emas dalam pasaran kerja, kerajaan negeri meneroka model pekerjaan baharu yang lebih inklusif, termasuk latihan semula, padanan kerja serta insentif kepada majikan.

Anfaal memaklumkan bahawa lebih 60 peratus penjaga warga emas di Selangor terdiri daripada penjaga tidak formal — rata-ratanya wanita dan ahli keluarga tanpa latihan profesional.
Bagi memberikan pengiktirafan dan sokongan kepada kumpulan ini, kerajaan negeri memperkenalkan beberapa inisiatif utama:
Selangor Care Navigator (Rakan Penjaga Selangor)
Satu inisiatif yang mewujudkan tenaga penjaga mikro terlatih untuk membantu rutin harian warga emas, mengurangkan kesunyian dan mengurus kes secara lebih sistematik.
Latihan Penjaga Warga Emas
Modul latihan berasaskan kompetensi disediakan untuk meningkatkan kemahiran fizikal, kesihatan, psikososial dan mental bagi ahli keluarga serta sukarelawan penjagaan komuniti.
Respite Care & Wellness Hub
Kerajaan menambah baik fasiliti awam termasuk PBT dan perpustakaan untuk menyediakan ruang rehat sementara kepada penjaga, sementara warga emas menikmati aktiviti fisioterapi, sosial dan kesejahteraan diri.
Anfaal menegaskan bahawa langkah-langkah yang diperkenalkan ini mengukuhkan prinsip penjagaan yang adil, mampan dan berpaksikan komuniti, seiring dengan aspirasi Selangor menjadi negeri contoh dalam peluasan Ekonomi Penjagaan.
“Penjaga tidak formal adalah tulang belakang kesejahteraan warga emas di Selangor. Kerajaan negeri komited memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Langkah ini dijangka memperkukuh kesejahteraan warga emas sekaligus membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor penjagaan di Selangor.