Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan pemberian insentif tambahan kepada pesawah yang berjaya menghasilkan lebih tujuh tan metrik padi sehektar, sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, cadangan pemberian insentif sebanyak RM100 bagi setiap tan metrik melebihi tujuh tan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh dua minggu lagi.

“Di seluruh Selangor, kita ada lebih 9,000 pesawah tetapi hanya sebilangan kecil yang berjaya mencapai hasil melebihi tujuh tan. Negara masih bergantung sekitar 40 hingga 45 peratus kepada beras import setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran baja premium berteknologi tinggi dan lestari, B.A.S.E, oleh syarikat Briar dan Behn Meyer di Sekinchan.
Izham turut mendedahkan bahawa Selangor membelanjakan lebih RM50 bilion setahun untuk import makanan, termasuk RM7.5 bilion bagi buah-buahan, sayur-sayuran, jagung dan ayam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan sejumlah RM1 bilion diperlukan untuk menambah baik infrastruktur pertanian, termasuk sistem saliran, kolam takungan air dan penstabilan tanah jerlus.
“Sekiranya melibatkan isu pengambilan tanah, kos keseluruhan boleh mencecah RM1 bilion. Permohonan akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor,” katanya.