Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM4.74 juta menerusi Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam kenyataan di Facebook hari ini, berkata jumlah tersebut dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin terhadap tragedi berkenaan serta usaha pemulihan yang sedang digerakkan oleh kerajaan negeri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memainkan peranan dalam usaha pemulihan ini.
“Semoga segala usaha, kerjasama dan semangat solidariti yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan yang lebih selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Tabung Selangor Prihatin diwujudkan bagi menyokong proses pemulihan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian berkenaan, termasuk pemberian bantuan tunai, kerja-kerja membaik pulih rumah serta penyediaan penempatan sementara.
Insiden kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu telah menggemparkan negara apabila saluran gas meletup dan menyebabkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Kejadian itu menjejaskan 219 buah rumah di kawasan sekitarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Seri Amirudin turut memaklumkan bahawa beliau telah mempengerusikan sesi Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas di Putra Heights kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Kerajaan dari Selangor.
Taklimat tersebut antara lain bertujuan memberikan penjelasan mengenai langkah-langkah segera yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Putra Heights dan Dewan Camelia telah ditamatkan secara rasmi pada Jumaat lalu selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing yang disahkan selamat.
“Mereka yang masih memerlukan penempatan pula telah ditempatkan di kediaman sewaan yang disediakan oleh kerajaan negeri, termasuk melalui platform Airbnb,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus memantau perkembangan pemulihan dan memastikan bantuan disalurkan secara menyeluruh kepada semua mangsa yang terkesan dalam tragedi tersebut.